Umno perlu berhenti main kayu tiga, buat keputusan segera keluar dari kerajaan

 


Umno tidak boleh lagi dilihat “main kayu tiga” antara Kerajaan MADANI dan Pas, sebaliknya perlu segera membuat keputusan mengenai hala tuju parti, kata Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda.

Menurut beliau, jika Umno tidak mahu sekadar menjadi “pelengkap” atau “balaci” kepada Pas, parti pimpina Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu seharusnya bergerak secara solo dan membuktikan kekuatan BN pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, Pas juga secara terbuka telah menyatakan pendirian untuk mengekalkan penguasaan di negeri SG4 serta semua kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU15.

“Melihat pada semua ini, pokok pangkalnya, sudah tiba masa untuk Umno membuat keputusan. 

“Umno tidak boleh lagi dilihat main kayu tiga. Lebih malang aktiviti kayu tiga berlaku di siang hari depan khalayak tanpa langsung rasa malu!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fadhli turut menyentuh kehadiran pemimpin Umno pada Muktamar Pas yang berlangsung di PUTIK, Kota Bharu.

Katanya, Umno sehingga kini masih belum menentukan “pasangan” yang akan dipilih bagi PRN Melaka, selain terdapat kenyataan Presiden Umno yang dilihat bertentangan dengan Perdana Menteri mengenai masa PRU.

“Presiden Umno pula baru semalam keluarkan kenyataan bertentangan dengan PMX dengan menyatakan beliau lebih suka sekiranya PRU diadakan lebih awal. Itu belum kira isu KKDW-MOF yang juga belum berkesudahan,” katanya.

Justeru Fadhli berkata, Umno lebih baik membuat keputusan segera untuk keluar dan menghentikan sokongan kepada Perdana Menteri serta Kerajaan MADANI, selain bersedia bertanding secara bersendirian.

Beliau turut menyebut kemungkinan Umno hanya mendapat tiga kerusi DUN di Kelantan dan Kedah, tiada kerusi DUN di Terengganu serta satu kerusi DUN di Perlis jika memilih untuk bekerjasama dengan Pas.

“Lebih elok Umno terus saja buat keputusan segera, keluar dan hentikan sokongan pada PMX dan Kerajaan MADANI, dan bersedia untuk bertanding 3 kerusi DUN di Kelantan dan Kedah, 0 kerusi DUN di Terengganu dan 1 kerusi DUN di Perlis.

“Itu pun sekiranya Umno yang dihebohkan sebagai parti keramat boleh sekadar menjadi ‘balaci’ di negeri SG4 dan juga negeri seperti Pahang, Selangor dan Perak yang berpotensi diketuai dan dikuasai Pas,” kata beliau. 




No comments: