Betul kata Dr MAZA…Pas tak berani masukkan larangan judi dalam manifesto
Ketika beberapa pemimpin Pas dilihat cuba menuding Persekutuan dalam isu judi, pendirian parti itu sendiri pula dilihat tidak konsisten apabila timbul cabaran supaya Pas meletakkan perkara itu di dalam manifesto mereka kelak.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor malam tadi berkata, Pas tidak perlu memasukkan pendirian menolak perjudian dalam manifesto pilihan raya kerana menurut beliau perkara itu sudah menjadi dasar perjuangan parti.
Sanusi berkata, pendirian Pas terhadap perjudian selaras dengan prinsip Islam dan boleh dirujuk menerusi Fasal 5 Perlembagaan Pas yang antara lain menyatakan tujuan parti memperjuangkan pelaksanaan nilai serta hukum Islam dalam pemerintahan.
Menurutnya, perkara itu termasuk undang-undang syariah yang melarang premis perjudian serta mengawal penjualan arak.
Bagaimanapun, pendirian itu dilihat menarik kembali perhatian kepada persoalan yang dibangkitkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr MAZA dalam kuliahnya minggu lalu mengenai keberanian parti politik menterjemahkan pendirian terhadap judi secara jelas dalam manifesto.
Dr MAZA sebelum ini bertanya sama ada pihak yang mahu mengharamkan sepenuhnya judi dan arak kepada bukan Islam akan berani meletakkan perkara itu secara terbuka dalam manifesto sekiranya mahu memerintah Malaysia.
“Awak nak memerintah Malaysia, awak boleh bubuh manifesto. Kami jika memerintah sama sekali tidak akan membenarkan arak dan judi kepada non Muslim dalam negara ini. Agak-agak mereka berani tak letak dalam manifesto?” katanya.
Dr Maza menyifatkan tindakan menjadikan isu judi sebagai modal politik tanpa memahami konteks pemerintahan sebagai tindakan yang tidak bijak.
Beliau sendiri mengingatkan bahawa pemerintah mempunyai bidang kuasa dan tanggungjawab tertentu dalam mengurus sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Dalam konteks itu, jawapan Sanusi bahawa Pas tidak perlu memasukkan pendirian berhubung judi dalam manifesto secara tidak langsung mengembalikan persoalan yang dilontarkan Dr MAZA.
Jika pendirian itu benar-benar jelas dan menjadi dasar perjuangan, mengapa tidak diterjemahkan secara terus dalam manifesto supaya rakyat tahu apa yang akan dilaksanakan sekiranya Pas memerintah.
No comments:
Post a Comment