HADI: WILAYAH AL-FAQIH IRAN MENYERUPAI SIYASAH SYAR‘IYYAH SUNNI

 

Ahmad Mursi




Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan konsep Wilayah al-Faqih atau “Kepimpinan Ulama” yang diamalkan di Iran sebagai mempunyai persamaan tertentu dengan ahkam siyasah syar‘iyyah dalam mazhab Sunni.
Pandangan itu dinyatakan dalam tulisan Minda Presiden PAS bertajuk “Apa Makna Kemerdekaan” ketika beliau mengulas perkembangan politik Iran selepas Revolusi Islam 1979.
Menurut Hadi, Iran melakukan perubahan daripada pegangan terhadap Wilayah al-Mahdi al-Muntazar kepada Wilayah al-Faqih yang disifatkannya “menyerupai ahkam siyasah syar‘iyyah dalam mazhab Sunni”, selain turut mengadakan pilihan raya umum.
Bagaimanapun, pandangan tersebut mempunyai perbezaan yang ketara dengan pendirian Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh Daulah. Qaradawi ketika membincangkan pengalaman Iran menegaskan bahawa sistem tersebut mempunyai latar pemikiran dan struktur tersendiri sehingga “tidak boleh diqiyaskan” serta “tidak boleh dijadikan hujah ke atas Ahli Sunah”.
Dalam kitab sama, Qaradawi turut menolak konsep negara yang dikuasai kelompok agamawan seperti sistem teokrasi. Menurutnya, Daulah Islam bukan “negara ala pendita ataupun tokoh agama” yang mendakwa mewakili kehendak Tuhan, sebaliknya sebuah daulah madaniyah yang berteraskan Islam, baiah dan syura.
Perbezaan tersebut membuka ruang perbahasan lebih lanjut mengenai sejauh mana konsep Wilayah al-Faqih boleh dibandingkan dengan tradisi siyasah syar‘iyyah Ahli Sunah.







No comments: