
Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Rashid Hussin ketika menyampaikan pandangan pada sesi bual bicara Dialog Ummah bertajuk “Realiti dan Masa Depan Tabung Haji” di Hotel Tenera, Bangi pada 3 September 2026.
BANGI, 3 Sep – Dakwaan bahawa bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, tidak diberikan peluang untuk hadir memberikan keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), adalah tidak benar, kata Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin.
Rashid berkata, rekod prosiding menunjukkan Madinah sudah dikeluarkan sepina dan diminta hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022.
Beliau berkata, rekod itu sekaligus menafikan dakwaan bahawa Madinah tidak dipanggil untuk memberikan keterangan secara langsung.

“Namun, kita tidak dapat penuhi permintaan Madinah untuk hadir bersama Timbalan Pengarah Audit Kewangan ketika itu, Dr Mona Othman.
“Ini kerana prosiding RCI menetapkan setiap saksi diperiksa secara individu,” katanya kepada media selepas Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Madinah menzahirkan rasa terkilan kerana tidak dipanggil untuk memberi keterangan secara langsung dalam prosiding RCI TH, walaupun beliau mendakwa bersedia berbuat demikian.

Untuk rekod, Madinah yang memegang jawatan Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019.
“Saya tegaskan, adalah tidak benar Madinah tidak mempunyai peluang untuk memberikan penjelasan.
“Kami memberikan beliau peluang mengemukakan jawapan bertulis kepada 75 soalan.
“Beliau sudah mengemukakan jawapan itu di bawah akuan berkanun pada 1 April 2022 dan ia berada dalam rekod kami sebagai pernyataan saksi,” kata Rashid lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, usaha daripada sudut dalaman TH untuk memperkukuh institusi berkenaan sudah dilaksanakan sejak, kira-kira setahun lalu.
Menurutnya, usaha itu kini memasuki fasa terakhir, khususnya dalam memastikan kedudukan TH terus diperkukuh sebagai sebuah institusi kewangan Islam.
No comments:
Post a Comment