
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadır pada Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan bertemakan “Mengerah kekuatan Turath Menghadapi Cabaran Dunia Moden" di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 19 September 2026.
PUTRAJAYA, 19 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI komited membantu memperkemas dan memartabatkan institusi pondok menerusi peningkatan taraf prasarana fizikal, disiplin ilmu serta pengenalan bidang pengajian baharu yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Perdana Menteri berkata, sebagai langkah permulaan, beberapa institusi pondok akan dipilih untuk menjadi perintis kepada tradisi baharu ilmu berdasarkan pengkhususan serta manhaj tarbiah atau disiplin masing-masing.
“Sejak merdeka 1957, kerajaan bertukar ganti, inilah kali pertama kita bantu.
“Saya mahu tekankan, kerana banyak orang pertikai. Saya tidak akan tentukan kurikulum (pondok), bukan bidang saya. Cuma saya usulkan usaha untuk meningkatkan martabat dan kedudukannya, termasuk ilmu dan disiplin baharu,” katanya.
Komitmen itu disuarakan Perdana Menteri semasa berucap pada Majlis Perasmian Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan bersempena dengan Festival Turath Islami Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Festival berkenaan turut menampilkan pelbagai program bermanfaat termasuk pencerahan ilmu, percambahan pemikiran dan mendapatkan maklum balas memperkasa pembangunan agama Islam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab dan ulama terkemuka Maghribi Syeikh Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.
Anwar berkata institusi pondok juga perlu didedahkan kepada disiplin baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), yang menurutnya mempunyai potensi besar sebagai alat dalam dakwah dan pembangunan umat Islam.
“AI ini adalah senjata penting dalam dakwah dan kebangkitan Islam, dan AI tanpa sistem etika dan akhlak boleh menjadi masalah dan musuh utama yang akan menikam kita.
“AI itu bahayanya ada, sama seperti telefon atau komputer. Jadi mesti latih juga anak-anak di pondok untuk menguasai (AI),” katanya.
Berkenaan pelajar jurusan pondok, Anwar bersetuju supaya laluan mereka melanjutkan pengajian di universiti juga boleh diberikan keutamaan.
No comments:
Post a Comment