Datuk Seri Najib Razak memang mendapat pengampunan bersyarat dan dibenarkan menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan rumah.
Tapi jangan rasa selamat.
Pengampunan yang diperkenankan hari ini hanya melibatkan hukuman kes SRC International.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan perkara itu ketika ditanya mengenai skop keputusan Lembaga Pengampunan.
“Hanya untuk kes SRC,” katanya.
Maknanya, keputusan hari ini tidak merangkumi sabitan dan hukuman berasingan yang dijatuhkan terhadap Najib dalam kes 1MDB pada 26 Disember 2025.
Dalam kes itu, Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib atas kesemua 25 pertuduhan — empat salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM2.3 bilion dana 1MDB.
Beliau dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 15 tahun, manakala denda bagi empat pertuduhan salah guna kuasa berjumlah RM11.38 bilion.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara kes 1MDB itu bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman dalam kes SRC.
Najib bagaimanapun telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman 1MDB tersebut. Jadi keputusan Mahkamah Tinggi itu kini masih melalui proses rayuan.
Sebab itu keputusan hari ini tidak boleh dibaca sebagai semua kes Najib sudah selesai atau semua hukumannya telah mendapat pengampunan.
SRC satu kes.
1MDB satu lagi kes.
Bagi SRC, baki hukuman kini dibenarkan dijalani secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat pengampunan.
Bagi 1MDB pula, sabitan 25 pertuduhan dan hukuman 15 tahun yang diputuskan Mahkamah Tinggi masih wujud, sementara Najib menggunakan haknya untuk merayu.
Apa kesannya terhadap kedudukan Najib selepas hukuman SRC berakhir pula akan bergantung kepada perkembangan rayuan 1MDB dan kedudukan undang-undang pada waktu tersebut.
Jadi jangan keliru antara pengampunan dengan pembatalan semua sabitan.
Pengampunan hari ini hanya untuk SRC.
Kes 1MDB belum selesai.
#unofficialinfo

No comments:
Post a Comment