Bantuan kepada rakyat tidak boleh dibezakan mengikut kaum kerana golongan susah wujud dalam setiap komuniti, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkempen di Muar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, perbincangan mengenai masa depan negara perlu memberi tumpuan kepada kebajikan anak-anak, pendidikan, perumahan dan kehidupan rakyat, bukannya dipengaruhi sentimen perkauman.
“Malam ini nak bincang pasal anak-anak kita, rumah kita, sekolah kita, masa depan negara kita. Ini bukan soal main-main,” katanya dalam ceramah tersebut.
Anwar berkata masyarakat Melayu, Cina, India serta rakyat di Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai kekuatan dan cabaran tersendiri, justeru isu kebajikan perlu dilihat dari sudut kepentingan semua rakyat Malaysia.
Beliau turut berkongsi pengalamannya melawat rumah anggota polis dan nelayan yang menurutnya masih berada dalam keadaan daif dan memerlukan perhatian kerajaan.
Katanya, tanggapan bahawa sesuatu kaum hidup senang secara keseluruhannya adalah tidak tepat kerana masih ramai yang bergelut dengan kos sara hidup dan kemiskinan.
“Kalau kita nak selesaikan masalah, kita kena tolong semua,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya hanya menumpukan perhatian kepada projek pembangunan berskala besar, sebaliknya perlu memastikan keperluan asas rakyat seperti rumah, makanan dan pendidikan diberi keutamaan.
Beliau berkata wakil rakyat dan kerajaan negeri perlu sentiasa turun padang untuk memahami masalah masyarakat, bukan sekadar muncul ketika musim pilihan raya.
“Jaga rakyat di bawah. Kita punya rumah, kita punya makan, anak-anak sekolah,” katanya.
No comments:
Post a Comment