ZAINUDDIN Omar
Kes ini mula dibongkarkan oleh page PW (sekarang masih terbenam dan kita tunggu penjenamaan lain) yang melibatkan berjuta-juta duit zakat.
•••
Seorang ahli Pertubuhan Ikram Malaysia Hulu Selangor hari ini didakwa atas 158 pertuduhan rasuah yang dibacakan selama kira-kira dua jam di Mahkamah Sesyen di sini.
Fakhrudin Abd Karim, 57, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM98,270,315.20 antara 2021 hingga 2025 yang dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Fakhrudin yang memakai jaket berwarna coklat kelihatan tenang dalam kandang tertuduh ketika dua jurubahasa mahkamah mengambil giliran membacakan semua pertuduhan sepanjang dua jam itu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga 149, tertuduh yang ditugaskan sebagai penandatangan yang diberi kuasa kepada akaun bank milik IKRAM Daerah Hulu Selangor, didakwa menggunakan kedudukannya mengarahkan 149 transaksi pemindahan dana pertubuhan itu berjumlah RM81,950,000 ke akaun sebuah bagan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa mempunyai kepentingan dengannya.
Bagi pertuduhan ke 150 hingga ke 158 pula, Fakhrudin didakwa atas pertuduhan sama dengan mengambil tindakan mengarahkan sembilan transaksi pemindahan dana milik NGO sama ke dua akaun bank miliknya, berjumlah RM16,320,315.20.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Hulu Selangor di Bukit Beruntung antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin mengambil kira jumlah suapan, selain syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam mewakili tertuduh, Datuk N Sivanathan memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan RM300,000 dengan alasan akaun tertuduh, keluarga serta syarikat miliknya kini dibeku oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Dia ada tujuh syarikat berkaitan yang mana pekerja tidak dapat dibayar gaji selama tiga bulan dan operasi syarikat juga terjejas. Kemungkinan besar pekerja akan kehilangan kerja," katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin tempatan, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan 7 Ogos depan.
Sebelum ini, media melaporkan dua individu dari sebuah NGO direman keseluruhan sembilan hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam berjumlah RM230 juta.
Selain 18 kenderaan mewah, SPRM menyita rumah dan hartanah kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.
Menerusi Ops Sutera, 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta turut dibekukan.
- Berita Harian

No comments:
Post a Comment