PRU Johor: Arthur Bidas Pihak Pusing Fakta Projek Tebatan Banjir

 


Arthur merasakan warga Bukit Batu berhak mendapat fakta yang lengkap, bukan naratif yang dipilih separuh jalan.

KULAI, 19 Jun – Calon Pakatan Harapan (PH), Arthur Chiong Sen Sern menegaskan, Projek Tebatan Banjir Kampung Melayu Bukit Batu yang bernilai RM200,000 diluluskan menerusi Peruntukan Mesra Rakyat Pejabat Parlimen Kulai dan berjaya menyelesaikan masalah banjir yang berulang di kawasan tersebut.

Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak memutarbelitkan fakta demi kepentingan politik.

Menurutnya, penjelasan itu dibuat susulan kenyataan yang dimuat naik oleh Timbalan Pemuda MIC Johor berhubung projek berkenaan yang disifatkannya tidak memberikan gambaran lengkap mengenai proses permohonan, kelulusan dan pelaksanaan projek tersebut.

Arthur bersama pegawai Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu turun ke lapangan beberapa kali bagi meninjau keadaan dan mengenal pasti penyelesaian yang sesuai.

“Saya akui semasa ucapan saya di pelancaran jentera tempoh hari, ada perkara yang saya terkhilaf dan telah saya tarik balik. Itulah bezanya politik matang, apabila silap kita betulkan.

“Namun, apabila saya membaca satu hantaran mengenai Projek Tebatan Banjir Kampung Melayu Bukit Batu, saya merasakan warga Bukit Batu berhak mendapat fakta yang lengkap, bukan naratif yang dipilih separuh jalan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Arthur berkata, Kampung Melayu Bukit Batu dilanda banjir sebanyak empat kali pada awal tahun 2025 sehingga menyebabkan kerosakan rumah, kehilangan harta benda serta menimbulkan kesulitan kepada penduduk.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelaksanaan inisiatif Kerajaan Persekutuan di DUN Bukit Batu telah memberikan impak positif dari segi penyampaian perkhidmatan, kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti. Foto Arthur Chiong Sen Sern

Susulan itu, beliau bersama pegawai Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu turun ke lapangan beberapa kali bagi meninjau keadaan dan mengenal pasti penyelesaian yang sesuai.

Katanya, memandangkan peruntukan di peringkat DUN adalah terhad, beliau mengambil inisiatif memohon bantuan daripada Pejabat Parlimen Kulai bagi memastikan masalah yang dihadapi rakyat dapat ditangani segera.

“Hasil usaha dan kerjasama tersebut, Projek Tebatan Banjir Kampung Melayu Bukit Batu telah diluluskan menggunakan Peruntukan Mesra Rakyat melalui Pejabat Parlimen Kulai, diuruskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Johor dan Pejabat Daerah Kulai sebagai agensi pelaksana,” katanya.

Perkhidmatan yang diberikan Arthur Chiong Sen Sern banyak membantu rakyat di DUN Bukit Batu sejak menjadi wakil rakyat dalam mensejahterakan lebih 35 ribu penduduk. Foto Arthur Chiong Sen Sern

Beliau memaklumkan, projek bernilai RM200,000 itu bermula pada 21 Jun 2025 dan siap sepenuhnya pada 24 Julai 2025.

Menurutnya, pada 26 Julai 2025, pegawai Pusat Khidmat DUN Bukit Batu turut mengiringi Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, meninjau hasil pelaksanaan projek serta mendapatkan maklum balas daripada penduduk setempat.

Arthur berkata, kejayaan sebenar projek tersebut adalah apabila masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk berjaya diselesaikan.

Program-program ini memperlihatkan bagaimana dasar kerajaan pusat dapat diterjemahkan kepada bentuk bantuan yang memberi impak langsung kepada kehidupan masyarakat. Foto Arthur Chiong Sen Sern

“Selepas projek ini dilaksanakan, setakat tahun ini tiada kejadian banjir direkodkan di kawasan berkenaan.

“Berbeza pandangan politik itu perkara biasa. Tetapi jangan sampai fakta dipusing dan hasil usaha pelbagai pihak cuba dialihkan kepada pihak yang tiada kaitan dengan proses permohonan, kelulusan dan pelaksanaan projek,” katanya.

Beliau turut menegaskan, fakta tidak boleh dipadam dan kredit terhadap sesuatu usaha perlu diberikan kepada pihak yang terlibat secara langsung.

“Politik khidmat, bukan politik tuntut kredit,” tambahnya.



No comments: