Onn Hafiz jangan risau, PH ada ramai pemimpin layak dan berintegriti


 




Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Dr Zaliha Mustafa secara sinis menegaskan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tidak perlu risau tentang soal calon Menteri Besar PH.

“Onn Hafiz nampaknya begitu risau untuk mengetahui siapa calon Menteri Besar Pakatan Harapan.

“Sebenarnya beliau tidak perlu terlalu bimbang.

“PH mempunyai ramai pemimpin yang layak, berwibawa dan berintegriti untuk memikul amanah tersebut sekiranya diberikan mandat oleh rakyat,” tempelaknya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Terdahulu, Onn yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mempersoalkan siapa calon Menteri Besar PH serta tawaran pembagunan yang mampu dikemukakan jika berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha mempersoalkan percanggahan mengenai pengumuman calon Menteri Besar seperti didesak Onn dengan realiti status ‘poster boy’.

“Apa yang menghairankan, beliau mendesak PH mengumumkan calon Menteri Besar kerana kononnya rakyat berhak tahu.

“Namun pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa status ‘poster boy’ bukan jaminan seseorang akan menjadi Menteri Besar.

“Jadi, yang mana satu sebenarnya? Jika pelantikan Menteri Besar akhirnya tertakluk kepada proses dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, mengapa isu ini dijadikan polemik politik oleh beliau?” bidas Dr Zaliha.

Politik persepsi

Beliau turut menegaskan PH tidak ghairah menjadikan isu jawatan sebagai modal kempen kerana menghormati sepenuhnya Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor dan kuasa Sultan Johor dalam melantik Menteri Besar.

“Sebab itu kami tidak terlalu ghairah bermain politik persepsi atau menjadikan isu jawatan sebagai modal kempen.

“Malah, rakyat Johor juga masih ingat apa yang berlaku pada PRN Johor yang lalu apabila Umno dan BN menampilkan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai wajah utama dan ‘poster boy’ mereka.

“Namun akhirnya, yang dilantik sebagai Menteri Besar ialah Datuk Onn Hafiz sendiri,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Zaliha berkata, rakyat tentunya berhak bertanya sama ada Onn Hafiz benar-benar bercakap tentang hak rakyat untuk tahu, atau sekadar cuba mencipta polemik politik yang beliau sendiri akui bukan penentu pelantikan Menteri Besar.

“Bagi PH, fokus kami kekal sama. Kami akan terus turun bertemu rakyat, mendengar masalah mereka dan menawarkan dasar serta penyelesaian yang mampu meningkatkan taraf hidup, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan memacu ekonomi Johor ke hadapan.

“Rakyat Johor lebih berminat untuk mengetahui bagaimana masa depan mereka boleh diperbaiki, bukan siapa yang paling sibuk bermain politik persepsi,” bidas Dr Zaliha lagi.

PRN Johor dengan penamaan calon pada 27 Jun ini menyaksikan pertembungan terus antara BN dan PH yang mahu menguji kekuatan masing-masing secara berasingan, walaupun berada dalam Kerajaan Persekutuan yang sama.

Situasi itu berlaku memandangkan BN Johor mahu menguji kekuatan sebenar tanpa bergantung pada PH dengan akan bertanding semua 56 kerusi secara solo.

Pemerhati politik berpendapat PRN Johor menjadi simulasi awal PRU16 serta ujian penting terhadap kestabilan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.



No comments: