SIAPA SURUH LETAK JAWATAN PENGERUSI PN?
20 Jun 2026
Realitinya Bersatu kini bukan lagi pemegang saham yang utama dalam PN.
Pertama, kerana jawatan Pengerusi bukan lagi dipegang Muhyiddin Yassin, sebaliknya oleh Dr Ahmad Samsuri Mokhtar daripada PAS.
Kedua, jawatan lantikan utama - Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Penerangan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya - semuanya bukan lagi dipegang pemimpin daripada Bersatu.
Ketiga, jumlah wakil Bersatu dalam PN juga lebih kecil berbanding wakil PAS (PAS ada 8, Bersatu cuma 4).
Keempat, jumlah kerusi Parlimen PAS (berjumlah 43) jauh lebih besar daripada Bersatu yang cuma tinggal 6 kerusi setelah 19 lagi Ahli Parlimen memihak kepada Hamzah Zainuddin.
Dengan empat faktor diatas, selain sudah hilang kawalan, Bersatu juga tiada hak lagi mendabik dada mahu mengatakan PN sebagai milik mereka.
Jauh tidak munasabah lagi bila ada pemimpin tertentu dalam Bersatu yang berkata, mereka lebih berhak menggunakan logo PN berbanding PAS.
Malah disuruh pula PAS yang menggunakan logonya sendiri.
Guna ilmu matematik mana pun kiraannya tidak mungkin menyebelahi Bersatu.
Hujah bahawa PN ditubuhkan ketika Muhyiddin jadi Perdana Menteri dan merupakan Pengerusi yang pertama bukanlah asas bahawa gabungan itu mesti jadi milik mereka buat selama-lamanya.
Macam sebuah syarikat perniagaan, apabila ia sudah disenaraikan di Bursa Saham, pemilikannya boleh bertukar tangan bila-bila masa dan pemilik asal tidak berhak lagi mendakwa syarikat itu milik mereka.
Oleh itu, Bersatu kena faham realiti dan berhenti merengek macam bayi.
Selain itu, berdasarkan realiti bahawa Bersatu kini bukan lagi pemegang saham majoriti dalam PN, jika dalam mesyuarat selepas ini mereka disingkirkan daripada gabungan itu pun mereka juga harus menerimanya dengan jiwa lapang dan dada yang terbuka.
Minoriti tidak mampu mengatasi majoriti walau barangkali suara melalaki kita lebih kuat.
Mudah kata, sama ada ketika masih berada dalam PN, apa lagi jika setelah disingkirkan selepas iniz, Bersatu sudah tiada hak mendabik dada mengatakan PN itu milik mereka dan mereka lebih berhak memilikinya.
Semua keadaan dalam PN ketika ini sudah tidak lagi memihak kepada Bersatu sebagaimana sebelum ini.
Senang cerita, siapa suruh Muhyiddin letak jawatan Pengerusi? - ShahbudinHusin 20Jun2026.
No comments:
Post a Comment