Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail dari Pas akhirnya memohon maaf kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung fitnah kononnya kementerian telah melarang laungan takbir dan bacaan doa di sekolah-sekolah seluruh negara semasa Minggu Solidariti Palestin pada 2023.
Selain Zulkifli, turut memohon maaf di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini adalah lidah rasmi Pas, Harakah.
Zulkifli yang juga Pesuruhjaya Pas Melaka membacakan kenyataan permohonan maaf itu kepada Fadhlina di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
“Selepas meneliti semula kenyataan-kenyataan tersebut, kami mengakui ia telah mengundang pelbagai tafsiran dan menyebabkan salah faham orang ramai terhadap Fadhlina yang menjejaskan nama beliau.
“Sebenarnya sekolah-sekolah dibenarkan melaungkan takbir dan membaca Qunut Nazilah sepanjang Minggu Solidariti Palestin.
“Oleh itu, kami memohon maaf kepada Fadhlina atas kenyataan itu dan bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Fadhlina,” kata wakil rakyat Pas berkenaan di mahkamah.
Dia turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dirinya dan Harakah bersetuju menyelesaikan pertikaian dengan Fadhlina kerana ketika ini terdapat isu berkepentingan nasional yang lebih utama dan memerlukan perhatian.
Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi, menerbitkan semula, menyebarkan atau mengulas kenyataan tersebut, atau membuat kenyataan lain yang membawa maksud serupa dalam apa jua cara dan bentuk.
Pada 5 November 2023, kerajaan MADANI dihujani cemuhan orang ramai selepas Zulkifli memfitnah kononnya kementerian telah melarang laungan takbir dan bacaan doa semasa Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah seluruh negara.
Fitnah wakil rakyat Pas itu dibuat dalam satu acara berasingan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin, dan diterbitkan oleh Harakahdaily serta akhbar Harakah pada keesokan harinya.
No comments:
Post a Comment