Petang tadi, saya meneruskan sesi libat urus bersama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melibatkan komuniti perniagaan milikan Cina dan India, selepas bertemu dengan usahawan Bumiputera minggu lalu.
Ketika ini, konflik Asia Barat telah memberi kesan yang amat mendalam kepada pasaran tenaga global, menjurus kepada tekanan ke atas kos operasi dan gangguan rantaian bekalan. Lantas sesi ini amat penting untuk mendapatkan gambaran langsung cabaran di lapangan, serta merangka langkah segera bagi membantu perniagaan yang terkesan.
Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan beberapa langkah segera bagi meringankan tekanan kos dan memastikan kelangsungan perniagaan, ini termasuklah meningkatkan peruntukan jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM5 bilion, serta meluaskan liputan pembiayaan sehingga 80 peratus, ketimbang 70 peratus sebelum ini.
SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman, serta bantuan bayaran balik secara bersasar.
Kerajaan MADANI juga telah bersetuju untuk memanjangkan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027, untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan tanpa penalti dalam tempoh tersebut.
Bagi perniagaan yang terkesan dengan eksport susulan konflik Asia Barat, Kerajaan MADANI akan memberi pertimbangan secara interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport, sehingga 31 Disember 2026.
Kita tidak boleh menafikan, krisis tenaga global ini akan dirasai secara berpanjangan. Ini bukan masanya untuk berpolitik atau adu domba. Ini masanya Kerajaan dan sektor swasta berganding bahu, agar kesan kejutan luaran ini dapat kita tangani demi maslahat rakyat.
No comments:
Post a Comment