Kajian global dedah ibu bapa di Malaysia paling ramai sokong larangan media sosial bawah 16 tahun


 


Malaysia muncul sebagai negara paling tinggi dalam kalangan ibu bapa yang menyokong cadangan mengehadkan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak di bawah 16 tahun, menurut dapatan awal kajian.

Kajian global Family First oleh Varkey Foundation yang melibatkan 15 negara itu mendapati, sebanyak 77 peratus ibu bapa di Malaysia menyokong larangan tersebut.

Peratusan itu adalah tertinggi berbanding negara lain seperti India (75 peratus) dan Perancis (74 peratus). 

Secara keseluruhan, 60 peratus ibu bapa di peringkat global menyokong langkah itu, manakala 21 peratus menentang dan 19 peratus masih belum membuat keputusan.

Sokongan paling rendah direkodkan di Jepun (38 peratus), diikuti Nigeria (39 peratus) dan Amerika Syarikat (51 peratus). 

Menurut kajian awal yang dimuat naik di laman Varkey Foundation, Australia adalah negara pertama melaksanakan larangan media sosial untuk bawah 16 tahun dengan sebanyak 66 peratus ibu bapa menyokong dasar tersebut.

Namun, kajian itu turut mendedahkan jurang pandangan yang ketara antara generasi. 

Hanya 37 peratus golongan bawah 18 tahun menyokong larangan berkenaan, mewujudkan jurang sebanyak 23 mata peratusan berbanding ibu bapa mereka. Jurang terbesar direkodkan di Australia, Sweden dan Kanada.

Menariknya, sokongan dalam kalangan golongan muda juga tinggi di Malaysia, dengan 62 peratus remaja menyokong sekatan tersebut.

Sebaliknya, sokongan paling rendah dalam kalangan belia direkodkan di Jepun (20 peratus), Argentina dan Sweden.

Dalam kalangan Gen Z pula, sebanyak 51 peratus menyokong larangan media sosial untuk bawah 16 tahun. 

Malaysia juga mencatatkan antara negara dengan kadar tertinggi dalam kalangan Gen Z yang menyokong usaha ini iaitu 65 peratus. Namun yang menduduki tangga teratas adalah India (73 peratus) dan Emiriah Arab Bersatu (67 peratus).

Menurut Family First, dapatan ini mencerminkan kebimbangan global yang semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa terhadap kesan media sosial ke atas perkembangan anak-anak. 

Laporan penuh kajian ini dijangka diterbitkan pada Jun, termasuk pengenalan Indeks Ikatan Keluarga pertama dunia yang akan menilai kekuatan hubungan kekeluargaan merentasi negara.



No comments: