SAMA ADA SOLO ATAU BERSAMA PH, KEDUA-DUANYA BUKAN JALAN SELAMAT BUAT UMNO
21 April 2026
Parti paling dilema untuk membawa diri pada PRU16 akan datang adalah UMNO.
Meski terlihat selesa duduk bersama PH dalam kerajaan, tetapi UMNO masih belum berani memutuskan untuk terus bekerjasama dengan gabungan parti pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu pada PRU16 akan datang.
Suatu ketika UMNO mengatakan mereka akan tetap bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya sebagaimana kerjasama telah terjalin dalam kerajaan, tetapi di selang seli itu kerap pula kedengaran suara mahu bertanding secara solo.
Pelbagai teori dan analisa cuba dibentangkan untuk mewajarkan UMNO bertanding solo, dengan paling kerap ialah agar parti itu dapat menjadi dominan kembali.
Berbeza dengan PH, meski ada DAP yang merupakan parti kaum Cina di dalamnya, gabungan itu bukan saja tiada masalah dan tidak membantah untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam politik, bahkan tidak pernah terdengar ada yang bersuara mahu bertanding solo sebagaimana kerapnya suara seperti itu keluar daripada mulut para pemimpin UMNO.
Untuk apa sebenarnya UMNO mahu bertanding solo dan kembali dominan, apakah mereka tidak cukup selesa berada di bawah Anwar dan PH setelah hilang kuasa pada 2018 lalu?
Apakah dengan bertanding solo benar-benar mampu meletakkan UMNO kembali dominan dan menang lebih banyak kerusi Parlimen?
Bertanding solo sebenarnya hanya menjamin UMNO dapat meletakkan calon di banyak kerusi, tetapi tidak menjamin banyak kerusi dapat dimenangi.
Dengan bertanding solo pada PRU akan datang, bermakna ia adalah ulangan pertandingan tiga penjuru - PH, BN dan PN - seperti dalam PRU15 lalu.
Keadaan itu akan meletakkan UMNO terhimpit antara PN yang lebih disokong oleh majoriti pengundi Melayu dan PH yang lebih disokong oleh pengundi bukan Melayu.
Pertandingan tiga penjuru akan banyak menguntungkan PN kerana pengundi Melayu memang lebih cenderung menyokong PAS berbanding UMNO sebagaimana terbukti pada PRU lepas dan masih berterusan dirasai di lapangan.
Selain itu, PN yang dipimpin oleh Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kini dilihat berwajah lebih segar dan ada daya tarikan berbanding UMNO atau BN yang sejak 2018 diterajui oleh Ahmad Zahid Hamidi.
Bagi PH pula, sebagaimana hanya sedikit sokongan Melayu diperolehinya pada PRU15 lalu, peratusan itu dijangka akan tambah berkurangan lagi pada PRU16 akan datang.
Dalam keadaan tersebut, UMNO tidak mungkin mampu menang lebih banyak kerusi, bahkan diperkatakan banyak pihak bahawa parti itu tidak mungkin juga mampu mengatasi pencapaian 26 kerusi Parlimen sebagaimana dimenanginya pada PRU15 lepas.
Pun begitu, UMNO juga tidak selamat jika bekerjasama dengan PH dan menjadikan pertandingan pada PRU16 akan datang sebagai pertempuran dua penjuru iaitu PH/BN menentang PN.
Selain prestasi tidak memuaskan hati dan banyak janji gagal ditepati sejak PH menerajui kerajaan yang akan memberi simbahan tempias secara langsung membuatkan UMNO lebih basah kena mandi, keadaan itu diburukkan lagi dengan sentimen UMDAP yang tentunya akan lebih kuat dimainkan kepada pengundi-pengundi Melayu.
Akhinya, di samping PN akan menjadi lebih pilihan bagi pengundi
Melayu, UMNO sebaliknya terus menjunam prestasi sokongan yang diperolehinya.
Lalu, apa pilihan terbaik buat UMNO?
UMNO tiada pilihan lain selain harus bekerjasama dan berpakat dengan PN bagi mencapai kedudukan menang-menang dan saling berbahagi kemenangan.
Dengan berpakat dan berbahagi kerusi bersama PN, UMNO bukan saja mampu menang antara 35 hingga 40 kerusi Parlimen, lebih tinggi daripada 26 yang dimenanginya sekarang, bahkan mampu kekal berkuasa di Melaka, Johor, Pahang dan Perak.
Bagi negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, sama ada bekerjasama dengan UMNO atau tidak, empat negeri berkenaan memang tetap milik PAS.
Bagi negeri yang lain, penubuhan kerajaan di negeri berkaitan boleh diputuskan selepas PRU diadakan berdasarkan siapa yang menang lebih banyak kerusi.
Yang penting, dengan kemenangan 35 hingga 40 kerusi Parlimen selepas PRU16 akan datang, UMNO mampu menjadi kuasa penting dalam pentadbiran negara dan kekal menguasai beberapa negeri, di samping dapat memisahkan dirinya daripada kepungan sentimen UMDAP dan kembali menjadi parti Melayu yang tidak lagi dipertikaikan keMelayuannya.
Berbanding jika pergi solo atau bersama PH, potensi masa depan UMNO tetap tidak selamat.
Berbeza dengan PN, walaupun solo, potensinya menang paling banyak kerusi mengatasi PH dan BN adalah cukup cerah berdasarkan situasi poltiik semasa dan akan datang yang terus tidak memihak kepada parti-parti dalam kerajaan.
Dalam hal ini, sebaik-baiknya UMNO mesti memulakan kerjasama dengan PN itu pada PRN Melaka yang akan diadakan tidak lama lagi jika benar memikirkan hidup matinya.
Bahkan, sebagai permulaan di PRN Melaka, PN dirasakan tiada masalah untuk membantu merealisasikan kemenangan dua pertiga UMNO di negeri tersebut. - ShahbudinHusin 21April2026.
No comments:
Post a Comment