Dakwaan Kerajaan ‘Senyap’ Tangani Kes Hina Agama Tidak Berasas, Siasatan Sedang Dilaksana – PM Anwar

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung insiden memijak al-Quran adalah tidak berasas pada 28 Februari 2026. Foto PMO

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung insiden memijak al-Quran adalah tidak berasas.

Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.

Perdana Menteri menegaskan dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, tindakan diambil berdasarkan proses perundangan, bukan tekanan emosi atau persepsi menerusi media sosial.

Hantaran di X Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Februari 2026.

“Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, Anwar menggesa semua pihak agar menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan kepada pihak berkuasa serta tidak membuat spekulasi atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian awam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) direman bagi membantu siasatan berhubung kes menghina agama Islam dengan memijak al-Quran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata kertas siasatan pelajar UMPSA itu telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya, manakala suspek masih dalam tahanan reman. Foto YAPEIM

Kelmarin, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata polis telah melengkapkan kertas siasatan bagi kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah pada Sabtu berkata, reman terhadap lelaki berusia 21 tahun itu disambung hingga 3 Mac ini selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan.

Sebelum ini, pada Januari 2023, Perdana Menteri turut menegaskan Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan membakar buku atau teks agama termasuk al-Quran, Injil dan teks agama Hindu kerana rakyat Malaysia menghargai kemanusiaan dan menghormati hak setiap individu.

Kenyataan media segera Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada 25 Februari 2026. Foto Facebook Fahmi Fadzil

Mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar naskhah al-Quran di Sweden, Anwar berkata terdapat begitu banyak salah faham dan prasangka terhadap agama di seluruh dunia termasuk Islam.

Susulan itu, Malaysia mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan segera di seluruh dunia sebagai tindakan balas terhadap insiden membakar naskhah Al-Quran di Sweden.

No comments: