
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis berbuka puasa di Seri Perdana bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya pada 28 Februari 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 28 Feb – Kerajaan meneruskan ikhtiar mempergiat usaha memerangi rasuah dan beriltizam melindungi kekayaan negara daripada terus diseleweng, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, pentadbiran kerajaan Persekutuan akan memastikan tiada mana-mana individu tanpa mengira pangkat atau kedudukan, kebal daripada tindakan undang-undang.

“Kita melakukan yang terbaik untuk memulihkan imej negara, bermula dengan kepimpinan. Kepimpinan tidak boleh sama sekali membenarkan perompakan harta negara.
“Sebab itu buat pertama kali dalam sejarah, agensi penguat kuasa bertindak terhadap salah laku rasuah tanpa mengira pangkat, sama ada Tun, Tan Sri, Datuk atau sesiapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa di Seri Perdana bersama warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.
Anwar berkata, siasatan terbaharu yang melibatkan tokoh-tokoh kanan termasuk kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pegawai kementerian serta setiausaha politik Perdana Menteri sendiri membuktikan komitmen Putrajaya dalam membanteras rasuah meskipun berdepan serangan berterusan terhadap beliau.

“Ini memberi mesej jelas bahawa tindakan kita mesti telus dan berani. Namun mereka yang terkesan selalunya cuba melawan dengan menggunakan sumber yang ada, media sosial serta pengaruh politik untuk menyerang.
“Apabila mereka melawan, mereka menggunakan dana besar yang telah dikumpulkan serta rangkaian media sosial dan politik untuk mengkritik.

“Akhirnya, pihak yang benar-benar komited memerangi rasuah pula dianggap musuh. Saya terpaksa mempertahankan diri walaupun cuba untuk tidak terganggu,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment