Seusai sambutan Merdeka, PMX ke China


 

Sejurus selesai menyertai sambutan Hari Kemerdekaan 2025 di Dataran Putrajaya, pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berlepas ke China hari ini bagi menghadiri beberapa acara rasmi atas jemputan Presiden Xi Jinping.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Anwar berlepas dengan pesawat khas jam 11 pagi tadi untuk menghadiri rangka lawatan kerja sehingga 3 September ini, dengan acara utama menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).


“Beliau sudah beberapa kali melawat China, tetapi lawatan kali ini sangat penting kerana kita mahu memperkukuh hubungan dua hala, apatah lagi bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan (Malaysia) dan Hari Nasional (China).

“Saya rasa ini masa yang amat signifikan bagi kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya hari ini.


Kementerian Luar dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, lawatan itu adalah atas jemputan Presiden China, Xi Jinping, yang turut menjemput Malaysia menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 kemenangan rakyat China dalam Perang Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Sedunia.

Sebagai Pengerusi ASEAN, penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak itu mencerminkan komitmen negara memperkukuh hubungan ASEAN–SCO, selain mengangkat peranan sebagai pengantara untuk meneroka potensi kerjasama lebih luas.


Selain itu, Anwar juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi serta mesyuarat dua hala dengan Premier Li Qiang bagi membincangkan kerjasama bilateral dan bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.





No comments: