
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni rakyat yang hadir kira-kira 100,000 orang pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 1 Sep – Komitmen serta kesungguhan semua petugas yang terbabit dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya di Putrajaya semalam, dizahirkan dalam bentuk penghargaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Perdana Menteri menyifatkan penganjurannya sebagai luar biasa dengan kehadiran ratusan ribu rakyat ke sambutan tahunan itu juga melambangkan kekuatan sebenar perpaduan di Malaysia.

“Luar biasa. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua petugas keselamatan, sukarelawan, penjawat awam serta mereka yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya dengan penuh dedikasi.
“Tidak lupa, terima kasih kepada hadirin yang hadir untuk bersama-sama meraikan detik bermakna ini sebagai satu rakyat, satu negara.

“Kehadiran dan komitmen semua melambangkan kekuatan sebenar Malaysia kekuatan yang lahir daripada perpaduan, saling menghormati, dan rasa cinta terhadap tanah air tercinta ini,” katanya.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan tahun ini menekankan komitmen kerajaan memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan, sejajar prinsip Malaysia MADANI berteraskan perpaduan, kesejahteraan dan nilai kemanusiaan.

Acara kemuncak sambutan ialah perbarisan dan perarakan membabitkan 14,062 peserta yang menampilkan pancaragam, aset hidup, kenderaan serta kontinjen daripada pelbagai sektor utama negara termasuk ekonomi, telekomunikasi, industri kreatif, sukan dan keselamatan.
Sambutan kali ini turut menampilkan kelainan menerusi penyertaan julung kali Kontinjen Kepengerusian ASEAN 2025 sempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, serta Kontinjen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Turut mencuri tumpuan ialah persembahan akrobatik udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta nyanyian mengasyikkan daripada penghibur nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Keterujaan dapat dilihat apabila ribuan rakyat telah ‘berkampung’ di Dataran Putrajaya seawal jam 9 malam sebelum hari perbarisan padat dengan pertunjukan menarik daripada pelbagai kontijen meraikan kepelbagaian dalam kebersamaan.
No comments:
Post a Comment