Blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas satu pertuduhan menyebut kata-kata menghasut antaranya mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan Barat dua tahun lalu.
Hakim, Siti Aminah Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap Wan Muhammad Azri, 42.
Pada 8 Januari 2024, lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Sir Azri didakwa menyebut kata-kata menghasut di Facebook atas nama Halid Hamidi (Halid Mat Kool) pada jam 1 petang 8 November 2023.
Kenyataan itu dilihat oleh seorang lelaki berusia 42 tahun di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan terhadap Wan Muhammad Azri.
No comments:
Post a Comment