Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun menahan seorang aktivis politik yang juga Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Chegu Bard malam tadi.
Ia susulan dakwaan pemimpin pembangkang itu menyampaikan satu ceramah berunsur hasutan yang tular di media sosial.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar, pihaknya telah mengesan satu video tular yang dimuat naik di akaun TikTok Edume @4mrankiamat, memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Chegu Bard sedang menyampaikan ceramah berunsur hasutan.
Katanya, siasatan berhubung penularan video tersebut dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sejurus laporan polis diterima.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Susulan itu pada 5 September jam lebih kurang 10.25 malam, PDRM telah menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai sebagai penceramah dalam video berkenaan bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pagi ini.
Polis pada masa sama menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan sehingga menyebabkan kegentaran awak serta mengganggu keharmonian masyarakat di Malaysia.
No comments:
Post a Comment