Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menzahirkan pendirian tegas baginda menentang cadangan garis panduan untuk umat Islam menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam.
Baginda berpandangan cadangan garis panduan ini dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian, pada ketika sekalian rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional, kata baginda yang juga ketua agama Islam di Selangor menerusi laman Facebook Selangor Royal Office.
“Islam menerusi Al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.
“Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana baginda percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan.
“Baginda mengingatkan bahawa sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.
“Dalam masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
“Bagaimanapun, baginda menasihatkan umat Islam khususnya di negeri Selangor agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama dan melakukan segala suruhan Allah Subhanahu Wata’ala serta meninggalkan segala larangan-Nya.
Kontroversi garis panduan ini tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Senator Datuk Naim Mokhtar menyatakan perkara ini menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Jemaah Menteri bagaimanapun telah memutuskan apa-apa sahaja keputusan perlu melaluinya secara dasar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjelaskan tidak wujud keperluan untuk garis panduan ini kerana masyarakat tahu batas agama masing-masing.
No comments:
Post a Comment