Mengenang Tunku Abdul Rahman: ‘Saya Pegang Teguh Nilai Diwariskan Almarhum’ – PM Anwar

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu Tunku Abdul Rahman sekitar tahun 1970-an. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu legasi kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terus menjadi panduan dalam usaha membina negara lebih baik untuk generasi mendatang.

Malah, Perdana Menteri turut menekankan bahawa pentadbiran Malaysia MADANI akan terus dikemudi dengan nilai perpaduan, integriti dan keadilan buat semua, iaitu konsep diwarisi daripada Tunku Abdul Rahman.

Beliau menyatakan perkara itu sebagai mengenang ulang tahun keputeraan negarawan ulung berkenaan, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu Tunku Abdul Rahman sekitar tahun 1970-an. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar berkata, nama Perdana Menteri pertama itu bukan hanya terukir dalam sejarah sebagai Bapa Kemerdekaan Negara, malah sebagai simbol kesepakatan dan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum dalam satu identiti nasional yang harmoni.

“Keghairahan Almarhum dalam memastikan negara ini kekal aman dan harmoni, harus terus menjadi inspirasi kepada kita semua, terutama dalam menghadapi cabaran kini.

“Dalam mengemudi Malaysia MADANI, saya berpegang teguh kepada nilai yang diwariskan Almarhum, selain bertekad untuk meneruskan perjuangan demi negara yang lebih sempurna dan makmur buat semua.

“Sumbangan Almarhum pasti akan menjadi inspirasi untuk menjunjung nilai perpaduan dan keamanan yang membentuk kesatuan negara kita,” katanya dalam catatan melalui media sosial beliau, hari ini.

Anwar sekali gus mendoakan roh Almarhum dilimpahi ganjaran ihsan dan rahmat Allah SWT.

Tunku Abdul Rahman dilahirkan pada 8 Februari 1903 sebelum meninggal dunia pada 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun.

Almarhum menjadi Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan negara pada 1957 hingga 1970.




No comments: