PMX RASMIKAN JALAN✔️


 Memulakan acara rasmi di Pulau Pinang hari ini dengan merasmikan majlis pecah tanah LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang. 








Saya singgung kepentingan Pulau Pinang untuk mempunyai sistem pengangkutan awam yang bersepadu untuk menyokong peranan negeri sebagai hab industri semikonduktor. Seperti yang ditulis oleh Chris Miller menerusi bukunya ‘Chip War: The Fight for the World’s Most Critical Technology’ betapa industri pembangunan dan pembuatan cip begitu kritikal, dan Malaysia tidak boleh terlepas dari arus dan tuntutan zaman. 


Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sedang dipercepatkan untuk memenuhi keperluan pelancongan dan industri semikonduktor, sementara zon ekonomi bahagian utara semenanjung yang akan diwujudkan dengan kerjasama Kerajaan Thailand yang bakal menjanjikan peluang besar dalam kerjasama serantau. 


Justeru, kita mahu Pulau Pinang muncul terkenal bukan sahaja dengan KOMTAR atau projek MRT, tetapi juga sebagai negeri yang komited membasmi kemiskinan, menjamin perumahan rakyat, serta memberi tumpuan kepada perusahaan kecil seperti warung-warung yang menjadi nadi masyarakat.


Pelaksanaan projek ini bukan bermaksud kepentingan sesetengah negeri sahaja diberi tumpuan. Sebaliknya, saya turut mengulangi komitmen bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memberi tumpuan kepada projek kebajikan rakyat melangkaui sempadan politik, seperti bantuan petani wilayah MADA di Kedah yang berjumlah hampir RM1 bilion serta projek-projek tebatan banjir di Kelantan bagi memampan dampak banjir ke atas rakyat. 


Saya menitipkan harapan agar projek ini  dilaksana dengan teratur dan efektif, disamping memelihara aspek identiti dan warisan budaya negeri Pulau Pinang.


Dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini sahaja, Malaysia telah menerima kunjungan beberapa kepala negara dari rantau ini yakni dari Singapura, sebelumnya Thailand, Indonesia dan yang terbaru adalah Jepun. Penting di sini untuk Malaysia terus memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara selain merapat serta mempertingkat kerjasama erat di kalangan negara tetangga. 


#MalaysiaMADANI