KUALA LUMPUR, 11 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menghadiri ‘Abu Dhabi Sustainability Week’ (ADSW) bermula esok 12 hingga 14 Januari 2025.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Perdana Menteri akan menyertai Majlis Pembukaan ADSW dan Majlis Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed bersama Ketua-ketua Negara dan Kerajaan dari rantau Afrika, Asia, Asia Tengah, Eropah, dan Timur Tengah.
Program ADSW 2025 turut merangkumi sesi plenari dimana Perdana Menteri akan menyertai dialog bertajuk “ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity”.
Anwar akan mengetengahkan perspektif dan pengalaman Malaysia dalam peralihan ke arah sumber tenaga lestari.
Semasa lawatan ini juga, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, dan rakan sejawat, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Perbincangan dijangka akan tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, khususnya dalam sektor-sektor utama seperti tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data.
Selain itu, isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan.
Di sela-sela ADSW, Perdana Menteri juga dijadual menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA).
Perjanjian ini akan membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri juga akan meneroka peluang untuk mengukuhkan kerjasama serantau, terutamanya dalam konteks peranan ASEAN dalam mempromosikan pembangunan lestari dan inovasi hijau di Asia Tenggara.