GEORGE TOWN, 11 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua rakyat supaya tidak memberi tumpuan kepada isu remeh seperti isu perkauman yang akan mengganggu usaha negara untuk muncul sebagai negara maju yang mempunyai hubungan baik dengan negara luar.
Perdana Menteri berkata, ini bukan masanya untuk rakyat menumpukan kepada fahaman sempit, soal kaum, soal daerah dan sebagainya kerana ia tidak akan membantu pembangunan negara.
“Usahlah berhempas pulas bergaduh, mempertahankan penyelewengan, pertahankan pemborosan, memainkan isu perkauman dan mempertahankan rasuah besar. Ini semua tidak akan membantu negara kita.
“Kita nak rakyat tumpu kepada hal yang besar, bukan (tumpu) soal video pelancongan yang tidak nampak gambar masjid sehingga menjadi pertarungan hebat. Video pelancongan Kelantan pun tak ada nampak masjid.
“Kalau ya pun, bagi cadangan, kita baiki. Tetapi inilah dia, dibawa hal-hal ini untuk meretakkan hubungan antara satu sama lain dan main sentimen kaum, kebencian satu sama lain,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan bekata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang di sini pada Sabtu.
Ulasan Anwar dipercayai merujuk penularan klip video montaj Tahun Melawat Malaysia 2026 menerima kritikan termasuk daripada pemimpin pembangkang yang menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menarik balik video berkenaan kerana didakwa cuai berikutan tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.
Video yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Tourism Malaysia itu memaparkan beberapa destinasi tumpuan pelancong antaranya Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur, Gua Mulu (Sarawak), Skywalk Langkawi (Kedah), Batu Caves (Selangor) dan gereja lama di Melaka.
Dalam pada itu, Anwar berkata, negara perlu berada pada asas yang tinggi dalam menjaga hubungan dengan negara luar antaranya China, Amerika Syarikat dan Thailand.
“Sekiranya negara dapat mengekalkan kerjasama baik dengan beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat, China dan Thailand, percayalah, Malaysia akan menempa sejarah dan diangkat sebagai negara hebat di rantau ini.
“Malaysia kini sedang menjadi tarikan apabila sering menjadi pilihan pemimpin besar luar untuk dilawati selain mengadakan persidangan-persidangan penting. Saya sangat terharu dengan ini kerana diberikan satu keutamaan yang jarang berlaku dalam sejarah,” jelasnya.
Tambah beliau, negara memerlukan tumpuan sepenuhnya daripada penjawat awam dalam memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan baik.
“Jika ada isu-isu yang remeh ini, anda ingat negara boleh memfokuskan kepada projek-projek besar seperti hub tenaga baharu di Sarawak, projek tebatan banjir di Kelantan dengan kos RM1 bilion dengan baik? Sebab itu, kita memerlukan tumpuan seluruh pimpinan dan penjawat awam.
“Kementerian dan di peringkat negeri, bincang bersama, fikir bagaimana kita boleh melaksanakan pembaharuan dan perubahan hal-hal baharu yang mencabar.
“Kita mahu ketua-ketua jabatan bukan sahaja berperanan sebagai pelaksana malah pemikir, bantu Menteri, Ketua Menteri untuk memberikan hujah dan cadangan baru dalam memperbaiki.
“Bukannya menggunakan keadaan dan peluang untuk mencari komisen dan helah, mencari keuntungan yang haram. Jangan alihkan kepada isu-isu remeh yang tidak membantu kita sebaliknya menjaga kepentingan negara,” tambahnya.
Anwar berkata, beliau tidak akan terganggu dengan tuduhan yang dibuat ke atasnya sebaliknya menumpukan usaha untuk memajukan semua negeri di negara ini.
“Walaupun hari ini kita bercakap isu LRT, tetapi kita tidak boleh lari daripada kerangka kita yang besar. Walaupun ada yang kata, kalau (saya) bagi di Pulau Pinang, saya jaga Cina di sini, saya takut dengan DAP.
“Saya tidak terganggu dengan pandangan itu kerana saya fikir, dengar semua pandangan, di Kedah begini, di Kelantan begini, di Johor begini, di Pahang, Sabah dan Sarawak, saya kata ‘yes’ Pulau Pinang memerlukan LRT.
“Jika nak dengar semua kata-kata penghasut ini, siapa pun tidak akan untung, siapa pun tidak akan makmur dan negara ini akan mundur dengan perpecahan antara kaum, menghasut dalam isu agama sekali gus akan merugikan negara,” katanya.