BUKIT MERTAJAM, 11 Jan – Detik bersejarah tercipta hari ini apabila kerajaan mengagihkan peruntukan sebanyak RM20.16 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di negara ini kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menyampaikan peruntukan itu sempena lawatan beliau ke Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin Bukit Mertajam, di mana beliau sendiri pernah mengajar sebagai guru sandaran Bahasa Melayu di sekolah itu sebelum ini.
Beliau ketika berucap berkata, kerajaan meneruskan pemberian peruntukan kepada 63 sekolah persendirian Cina tahun ini sebagai usaha menghargai khidmat dan kesetiaan mereka untuk menyesuaikan kurikulum pendidikan semasa serta menghormati bahasa kebangsaan.
“Memang sebelum ini (peruntukan sekolah persendirian Cina) ada, tetapi untuk tahun ini saya memutuskan untuk menyerahkan sendiri bantuan kerajaan ini kepada 63 sekolah persendirian Cina (seluruh negara) yang masing-masing akan memperoleh RM320,000.
“Ini sebagai tanda kita menghargai khidmat mereka dan kesetiaan mereka untuk menyesuaikan kurikulum (pendidikan), menghormati bahasa kebangsaan dan mengangkat martabat rakyat keseluruhan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Yang turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Sempena lawatan itu juga, Anwar mengumumkan bantuan RM1 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin Bukit Mertajam.
“Sekolah ini ada masalah sikit dan kerana usaha serta jasa mereka, saya luluskan RM1 juta.
“Saya berharap peruntukan ini dapat membaiki mutu pendidikan negara kita,” katanya.
Menyingkap nostalgia ketika mengajar di sekolah itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberitahu beliau menjadi guru sandaran di sekolah yang lebih 99 peratus terdiri guru dan murid kaum Cina.
“Ketika itu, saya mengajar bahasa Melayu selama setahun. Tidak ada yang paksa saya untuk meninggalkan minat saya untuk menguasai bahasa dan budaya Melayu.
“Bahkan tidak ada usaha untuk mengeluarkan saya dari agama kita (Islam) walaupun saya mengajar di sekolah yang 99 peratus guru dan anak-anaknya Cina.
“Sebelum ini saya belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar yang 100 peratus pelajar Melayu dan inilah pengalaman (mengajar di sekolah persendirian Cina) yang sangat berharga bagi saya,” katanya.