Pas membuat rayuan sumbangan kewangan bagi membiayai perintah mahkamah sebanyak RM750,000 terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.
Menerusi surat yang beredar hari ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kegagalan Siti Mastura menyelesaikan tuntutan kepada tiga pimpinan utama DAP terbabit boleh menyebabkan prosiding kebankrapan.
“… kesannya boleh menyebabkan Ahli Parlimen Kepala Batas hilang kelayakan dan kerusinya akan dikosongkan untuk suatu Pilihan Raya Kecil,” katanya.
Pada 4 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Quay Chew Soon mengarahkan Mastura membayar RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Hakim Quay memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Mastura yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP) itu berunsur fitnah dan pembelaannya atas dasar komen adil, keistimewaan bersyarat, dan penyebaran tanpa niat jahat tidak dapat dibuktikan.