Pengganas Israel Kali Pertama Akui Dalang Bunuh Haniyeh

 

Katz mengakui Israel menjadi dalang pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran, Iran. Foto AFP

BAITULMAQDIS, 24 Dis – Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, buat julung kali mengakui pembabitan dalam kes pembunuhan bekas Ketua Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran, tahun ini.

Serentak itu, Katz turut memberi amaran dan ugutan kepemimpinan Houthi di Yemen akan menerima nasib sama.

Menurutnya, rejim Israel akan menyerang Houthi pada skala besar dan memusnahkan pemimpin pejuang itu, sama seperti dilakukan ke atas Haniyeh, (Yahya) Sinwar, dan (Hassan) Nasrallah di Tehran, Gaza, Palestin serta Lubnan.

Katanya perang akan dilakukan di Hodeida dan Sanaa.

Kenyataan ketika satu acara di Kementerian Pertahanan itu menandakan pengakuan awam pertama mengenai peranan Israel dalam kes pembunuhan Haniyeh di Tehran, Iran, akhir Julai lalu.

Sementara itu, Katz dalam kenyataan, turut memberi amaran akan mengerat tangan pihak yang menentang Israel serta tenteranya, Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Hingga kini, Israel tidak pernah mengakui membunuh Haniyeh, namun Iran dan Hamas sejak sekian lama mengetahui kematian pemimpin politik kumpulan pejuang itu didalangi rejim berkenaan.

Haniyeh, yang dilihat mengetuai usaha rundingan gencatan senjata di Gaza, dibunuh di rumah tamu dekat Tehran pada 31 Julai lalu, dikatakan dengan menggunakan alat peledak yang diletakkan ejen Israel, beberapa minggu sebelum kejadian.

Sehari sebelum itu, Haniyeh menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.

Pada 27 September lalu, Israel membunuh Nasrallah dalam serangan bom di Beirut, Lubnan, diikuti pembunuhan pengganti Haniyeh, Sinwar, di Gaza, pada 16 Oktober.

Pegawai Israel berkata, Sinwar adalah dalang serangan Hamas ke atas Israel, pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang di Gaza.