JOHOR BAHRU, 23 Dis – Peluasan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada pelajar Tingkatan 6 yang diumumkan untuk tahun depan adalah satu lagi bukti keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kebajikan golongan pelajar, terutamanya yang datang dari keluarga berpendapatan rendah.
Menurut aktivis KEADILAN Johor, Zarizi Jamil, inisiatif ini menunjukkan komitmen beliau untuk memastikan tiada pelajar yang tertinggal dalam memperoleh pendidikan berkualiti, sekaligus mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa dalam menghadapi kos persekolahan.
“Saya menyambut baik inisiatif Perdana Menteri yang amat prihatin ketika meningkatnya kos sara hidup, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar, bantuan kewangan seperti ini sangat penting untuk membantu keluarga dalam menyediakan keperluan pendidikan anak-anak mereka.
“Pelajar Tingkatan 6, yang berada di peringkat pra-universiti, memerlukan sokongan tambahan untuk menghadapi cabaran akademik yang lebih tinggi,” katanya.
Tambah beliau, bantuan ini dapat digunakan untuk membeli buku, alat tulis, pakaian seragam dan keperluan lain yang berkaitan dengan peralatan persekolahan.
“Tindakan ini juga mencerminkan agenda Malaysia MADANI yang diketengahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan fokus utama adalah memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memberikan peluang yang adil kepada setiap individu, tanpa mengira latar belakang.
“BAP ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, tetapi juga memberi isyarat bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan bersedia membantu rakyat dalam segala aspek kehidupan, terutamanya dalam bidang pendidikan,” jelasnya lagi.
Terdahulu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar dengan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.
“Ini peluang yang sangat baik, BAP diberikan kepada pelajar tingkatan enam buat kali pertamanya dalam sejarah, dan kita mahu anak-anak tingkatan enam ini terus bersemangat.
“Kita harap inisiatif untuk tingkatan enam akan dapat kita tambah baik lagi kerana tingkatan enam ini sangat penting, ia pasca-Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan khususnya untuk menjamin akses pendidikan kepada semua,” katanya dalam kenyataan.