PM Anwar Sahkan Wujud Perbincangan Awal Tengku Zafrul Sertai KEADILAN

 

Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Kongres Khas KEADILAN di Shah Alam pada Ahad. Foto Jurey Rosli

SHAH ALAM, 15 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam KEADILAN.

Presiden KEADILAN itu berkata, prinsip parti adalah terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti tetapi ia perlu dilakukan dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti lain termasuk UMNO tidak terjejas.

“Kita tidak menafikan dan tidak pernah mengajak orang, tetapi kita sedia bincang dan parti ini terbuka… orang yang bekas UMNO pun ada dalam KEADILAN.

Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut Amirudin (kiri) semasa tiba pada Kongres Khas KEADILAN di Shah Alam pada Ahad.

“Sekarang ini ada perbincangan awal… perbincangan dulu… prinsipnya kita ambil sikap terbuka orang yang boleh beri sumbangan tetapi dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti termasuk UMNO adalah baik,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar menyempurnakan Kongres Nasional Khas KEADILAN, yang diadakan secara tertutup, di Dewan Raja Muda Musa, di sini.

Sebelum ini, wujudnya khabar angin bahawa Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan menyertai KEADILAN.

Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Kongres Khas KEADILAN di Shah Alam pada Ahad.

Terdahulu, Tengku Zafrul menyatakan beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kedudukan politiknya dalam masa terdekat.

Pada masa sama, mengenai sama ada permohonan sudah dikemukakan Tengku Zafrul kepada KEADILAN, Anwar bagaimanapun berkata, ia baharu di peringkat perbincangan.

Ketika ditanya sama ada Tengku Zafrul ada menyatakan minat untuk menyertai KEADILAN, Anwar bagaimanapun berkata, perkara itu perlu ditanya kepada Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu sendiri.

“Dengarnya… tanya dialah… dia minat (atau tidak) tanya saya (pula),” katanya.

Tengku Zafrul dijangka akan memberi penjelasan berhubung khabar bahawa beliau akan menyertai KEADILAN dalam masa terdekat. Foto Bernama

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata situasi ‘pertukaran’ pemimpin dalam parti komponen pernah berlaku sebelum ini dan KEADILAN sendiri terbuka mengenai perkara itu.

“Prinsipnya dulu parti KEADILAN memang terbuka, ada pemimpin kita pernah jadi Setiausaha Agung AMANAH, ada pemimpin DAP jadi calon kita.

“Ada juga calon kita keluar masuk DAP. Jadi KEADILAN selama ini buka ruang, selalu runding dengan baik, itu keadaannya. Macam Tengku Zafrul juga dalam keadaan sama.

“Selama ini dari segi dasar kita, pengalaman dalam PH, kita tidak galakkan tetapi tidak pernah menghalang namun hormat keputusan mereka dengan hubungan baik antara parti,” katanya.