SHAH ALAM, 15 Dis – Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemilihan parti itu diadakan segera bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan berjalan.
Anwar juga berkata barisan kepimpinan parti harus melibatkan gandingan baharu dan lama.
“Selaku parti yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi harus segera mengadakan pemilihan bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan berjalan,” katanya di Facebook sempena Kongres Nasional Khas KEADILAN di sini hari ini.
Beliau juga menasihati pimpinan muda supaya tidak gelojoh dan menghargai pengalaman getir pemimpin terdahulu yang dihina, ditekan dan dianggap sebagai musuh negara suatu ketika lalu yang mengizinkan KEADILAN kukuh bertapak pada saat ini.
Kongres khas hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu yang antara lain meningkatkan jumlah perwakilan bagi mengundi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat.
Turut diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga perwakilan adalah penetapan prinsip penetapan kuota gender dan etnik.
Sementara itu, Anwar berkata pindaan itu adalah bagi memantapkan proses dan memaknai demokrasi dalam pemilihan parti.
“Lebih dua pertiga perwakilan telah menyatakan persetujuan sewaktu pengundian, sekali gus meluluskan usul pindaan perlembagaan ini,” katanya.
Pada Oktober lalu, Setiausaha Agung KEADILAN, Fuziah Salleh berkata parti akan membuat pemilihan selepas mandat dipegang barisan pimpinan parti itu pada ketika ini berakhir Mei tahun depan.
Fuziah berkata tidak timbul isu pemilihan parti itu akan ditangguhkan kerana barisan sedia ada masih sah..