Pemimpin Pas dilihat menyindir Bersatu di media sosial selepas gagal berebut kuasa dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat secara terbuka mengkritik rakan gabungannya itu sekaligus menguatkan lagi desas-desus bahawa kedua-dua parti itu sedang berantakan.
Nasrudin Hassan yang kini walaupun sibuk dengan bisnes yang menjanjikan pendapatan lima angka sebulan tampil menyindir parti yang diterajui Tan Sri Mahiaddin Yassin itu.
“Bersatu adalah MENYATUKAN suatu yang berselerak. Bukan membolot untuk menjadi satu,” tulisnya pada catatan awal di Facebook hari ini.
Walau bagaimanapun, menerusi ‘edit history’, didapati dua jam kemudian Nasrudin menyunting hantaran tersebut dengan memadam ungkapan “Bukan membolot untuk menjadi satu”.
Perpecahan Bersatu dan Pas dilihat semakin memuncak susulan tindakan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai Bendahari Agung PN pada 11 Disember lalu.
Malah, beberapa pemimpin PN sebelum ini pun saling berbalas kenyataan berhubung calon Perdana Menteri gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Antaranya adalah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.