Kenaikan Kadar Tambang Feri Ke Langkawi Bagi Rakyat Malaysia Dibatalkan

 


Pembatalan kenaikan tambang feri ke Langkawi bagi rakyat Malaysia bagaimanapun tidak terpakai kepada warga asing.

ALOR SETAR, 15 Dis – Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd akhirnya membatalkan kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis bagi warga Malaysia yang diumumkan sebelum ini.

Pengurus Besarnya, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, bagaimanapun kenaikan kadar tambang bagi pelancong asing akan diteruskan dan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.

“Atas nasihat Kementerian Pengangkutan Malaysia dan kerajaan negeri Kedah maka kenaikan tambang bagi warganegara Malaysia mulai 1 Januari 2025 dibatalkan.

“Walau bagaimanapun, kenaikan tambang bagi pelancong asing akan berkuat kuasa bermula tarikh yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Langkawi Ferry Line Ventures dalam satu kenyataan pagi tadi mengumumkan kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa bermula tarikh berkenaan.

Pengurus Operasinya, Norhafiz Abdul Wahid berkata, kenaikan itu adalah antara RM3 hingga RM10.50 sehala mengikut kategori penumpang dan laluan perjalanan.

Pengumuman kenaikan kadar tambang itu seterusnya mendapat reaksi daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri terbabit membuat pengumuman menaikkan kadar tambang feri pada hari ini.

Loke turut memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak layak menerima subsidi diesel sekiranya meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.

“Adalah lebih baik semua pengusaha menarik balik pengumuman ini serta merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat,” katanya.