Abdul Hadi Awang (PN- Marang) hari ini menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim apabila membayangkan dia ingin dilihat lebih baik berbanding Nabi Muhammad.
Walaupun tidak menyebut nama Anwar secara khusus, presiden PAS itu menghalakan kenyataannya ke atas “orang” yang cuba menunjukkan kesolehan dengan menolak gaji.
“Allah memperuntukkan 20 peratus kepada Nabi Muhammad. Ada peruntukan untuk Nabi dan keluarganya…(tetapi Baginda) gunakannya untuk bantu dan mendahulukan orang lain (seperti) orang kawasan pedalaman yang memerlukan bantuan serta orang musafir.
“Namun ada orang yang nak tunjuk lebih daripada Rasulullah (dengan) tak mahu terima gaji. Itu cerita lainlah,” katanya ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat hari ini.
Sejak menjadi perdana menteri pada November 2022, Anwar berkata dia tidak akan mengambil gaji untuk jawatannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.
Awal tahun ini, dia turut berkata akan memulangkan elaun yang diterima selaku pengerui Khazanah Nasional, dan mendakwa dia tidak tahu ada menerimanya.
Pada bulan lalu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga mempersoalkan keputusan Anwar, dengan berkata seorang rasul pun diberikan "peruntukan" oleh Allah untuk rezekinya.
Kenyataan itu dibuat semasa perbahasan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, di mana dia mempersoalkan bagaimana Anwar menyara dirinya tanpa gaji.
"Tapi kalau zero income, dia nak makan dengan apa?
"Kalau dia boleh berdoa - phum! Beras dihantar oleh Kota Raja (Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) depan dia, beras tempatan pulak tu, tak apalah,” kata Hamzah.