Tidak Mengambil Upah Sifat Mulia Para Nabi & Pendakwah



Dunia sudah terbalik. Orang yang tidak mengambil gaji disindir kononnya lebih daripada Nabi Muhammad (saw) sedang sepatutnya yang wajar ditegur ialah orang yang mengambil gaji dan elaun kerana berkhidmat untuk rakyat tetapi tidak menyempurnakan amanah dan tugasan. 


Inilah yang dimaksudkan oleh Hadis Dhaif sebagai tahun-tahun penuh tipu daya antaranya orang yang amanah dianggap khianat, pengkhianat pula diberi kepercayaan.


Namun, lupakah kita bahawa tidak mengambil upah itu adalah sifat para utusan dakwah. Ia disebut dalam Surah Yasin yang selalu dibaca oleh orang Melayu khususnya. 


Apabila Isa alaihissalam mengutuskan para pendakwah kepada satu bandar lalu datang seorang lelaki dari pedalaman bertanya: adakah kamu meminta upah dari tugasan kamu? Apabila mereka menjawab tidak, lalu segera lelaki itu mengajak orang-orang bandar mengikut para pendakwah yang tidak meminta upah ini. 


Allah menceritakan kisah ini dalam Surah Yasin: 20-21;  

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَىٰ قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ اتَّبِعُوا مَن لَّا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ

"Dan datanglah dari pedalaman bandar seorang lelaki yang berlari sambil berkata wahai kaumku ikutlah kamu utusan-utusan ini. Ikutlah orang yang tidak meminta sebarang upah dari kamu sedang mereka diberi hidayah".


Ayat ini menunjukkan tidak mengambil upah atas apa-apa pekerjaan itu satu kelebihan dan perlakuan mulia yang sepatutnya dipuji dan bukannya dikeji atau disindir. 


Malah, akhlak tidak mengambil upah inilah menjadi sebab untuk seseorang itu diikuti, didokong dan disokong. 


Bahkan wajar pula menyeru orang ramai untuk mendokong si pelaku itu sebagaimana tindakan lelaki yang dikisahkan oleh Allah dalam ayat di atas bukan sebaliknya menyindir untuk menjatuhkan maruah. 


Bahkan, Nabi kita Muhammad (saw) sememangnya tidak meminta upah atas kerja dakwah yang memenatkan dan meletihkan serta menuntut pengorbanan masa dan meninggalkan kerja-kerja yang lain sehingga Allah mengajar baginda menjadikan akhlak terpuji itu sebagai hujah kebenaran dakwah baginda. Allah berfirman: 


قُلْ مَا سَأَلْتُكُم مِّنْ أَجْرٍ فَهُوَ لَكُمْ ۖ إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى اللَّهِ ۖ 

"Sebutlah wahai Muhammad, saya tidak meminta kamu sebarang upah. Maka upah itu adalah milik kamu. Tidaklah upahku itu melainkan atas Allah" (Surah Saba': 47)


Sifat Nabi Muhammad (saw) yang tidak meminta dan mengambil upah atas kerja dakwah disebut juga dalam Surah al-An'am: 90,  Surah Yusuf: 103, Surah Sod: 86, Surah al-Furqan: 57, Surah al-Syura: 23, Surah al-Qalam: 46 dan Surah al-Tur: 40.


Justeru, bagaimana pula disindir orang yang tidak mengambil gaji sebagai "lebih baik dari Nabi", sedangkan ia sememangnya akhlak Nabi (saw)?


Adakah sakit dan umur tua menjadikan seseorang itu lupa atau terlupa sehingga kebaikan pula dilihat sebagai keburukan, akhlak terpuji dianggap keji?


Lebih malang pula bila sindiran terhadap akhlak yang sememangnya terpuji itu turut disokong oleh pendokong-pendokong yang turut digelar guru agama. 


Apakah dunia telah tunggang terbalik dalam menilai kebaikan?


Dr Khairuddin Takiri

Selasa 5.11.2024