Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua bekas pengurus besar sebuah pertubuhan badan awam susulan siasatan salah guna kuasa membabitkan kartel perolehan baja bernilai kira-kira RM60 juta.
Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Syahrul Sazly Md Sani membenarkan kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an direman selama tiga dan empat hari iaitu sehingga 5 serta 6 November ini selepas permohonan dibuat SPRM pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan sekitar jam 8.30 malam semalam ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan terhadap kartel perolehan baja membabitkan sebuah pertubuhan badan awam yang dipercayai mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terkini terhadap kedua-dua suspek.
Katanya, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.