TAHNIAH MB KEDAH


 


Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor yang secara terbuka serta tidak menunggu lama untuk mengesahkan beliau kini sudah beristeri dua.


Beliau mengakui sudah berkahwin seorang lagi dengan seorang pegawai polis yang merupakan janda anak satu sejak beberapa bulan lalu.


Dengan Sanusi sendiri mengesahkan pernikahan keduanya, maka tertutuplah segala spekulasi dan teka-teki yang berlegar selama ini.


Lalu, jika sesiapa selepas ini terjumpa Sanusi bersama wanita lain yang bukan isterinya yang biasa dilihat sebelum ini, maka tiada lagi fitnah terhadapnya.


Inilah baiknya bila pernikahan kedua diakui secara terbuka.


Lebih-lebih lagi sebagai pemimpin, meskipun soal nikah kahwin adalah isu peribadi, tetapi bersikap telus dan terbuka kepada rakyat adalah sebaik-sebaik pilihan.


Dalam hal inilah sikap Sanusi amat terpuji sekali.


Membaca kisah pernikahan keduanya, Sanusi boleh dikira antara lelaki paling beruntung di dunia ini.


Ini kerana, perkahwinan keduanya itu bukan saja mendapat restu daripada isteri pertamanya, Jusmalailani Jusoh, malah isteri pertamanya juga yang pergi meminang untuknya.


Menurut Sanusi lagi, semua proses perkahwinan keduanya  telah dibuat secara teratur dan mengikut peraturan.


“Saya (nak maklumkan saya sudah) kahwin dengan polis, isteri saya pergi meminang… pinangan itu dibuat oleh isteri saya, berbulan (bulan) dahulu.


“Alhamdulillah (majlis berlangsung) sempurna, teratur dan beres.


“(Pada) hari pinangan (dan) hari perkahwinan, isteri (pertama) saya ada (bersama), anak-anak saya (juga) hadir.


“Semua proses yang kena buat untuk (perkahwinan) itu semua dipatuhi, jadi tidak ada isu,” kata Sanusi  lagi.


Malah Sanusi sempat bergurau sambil tersenyum – “Saya ada kouta dua lagi.”


Sebelum ini heboh menjadi bualan di seluruh negara bahawa Sanusi dikatakan telah berkahwin lagi satu.


Beliau tidak mengesah atau menafikan spekulasi itu, sebaliknya hanya memberi bayangan seolah-olah memang sudah berkahwin lagi.


Tetapi, disebabkan ia tidak jelas, maka ia kekal sebagai teka-teki sehinggalah Sanusi sendiri mengesahkan perkara itu semalam.


Sebagai lelaki, jika ada keinginan dan berkemampuan, berkahwin lagi bukanlah suatu kesalahan.


Ia bahkan adalah sunnah.


Cuma, tujuan berkahwin ialah untuk mencari kebahagiaan, bukan menempah porak-peranda dalam kehidupan.


Sebab itu, Sanusi dikira bertuah kerana perkahwinan keduanya mendapat restu isteri pertama, selain pinangan pun diuruskan oleh isteri pertamanya.


Kira-kiranya di kalangan ahli politik lelaki Malaysia sekarang ini, Sanusilah orang paling bahagia sekali. – ShahbudinHusin 05 September 2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/09/05/tahniah-mb-kedah.html



No comments: