PERSAINGAN YANG SIHAT


RAFIZI RAMLI




 Alhamdulillah negeri-negeri yang ditadbir pembangkang - Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis - kini mahu memastikan unsur nadir bumi (atau rare earth elements, REE) diproses di Malaysia dahulu sebelum dieksport.


Sebelum ini, berita mengenai penyeludupan REE mentah yang belum diproses ke luar negara pernah menjadi isu hangat tahun lepas.


Idea menubuhkan syarikat bersama yang dimiliki kerajaan empat buah negeri itu untuk membina kilang pemprosesan REE ini adalah idea yang baik.


Malah, idea ini telah dibincangkan panjang lebar di peringkat Kerajaan Persekutuan dan dalam majlis-majlis bersama yang turut melibatkan pimpinan dari keempat-empat buah negeri.


Cuma ada satu masalah sahaja.


Industri REE ini dikuasai hampir 90% oleh negara China. Teknologi untuk memproses REE hanya dimiliki oleh syarikat-syarikat milik Kerajaan China. Hanya ada beberapa buah syarikat bukan China yang mempunyai teknologi ini.


Perbincangan di peringkat Kerajaan Persekutuan telah memutuskan agar usaha di peringkat Kerajaan dimulakan untuk meyakinkan pelabur-pelabur untuk berkongsi teknologi pemprosesan REE dengan membuka kilang pemprosesan di Malaysia.


Kemampuan sebenar Tun Mahathir akan terserlah sekiranya beliau berjaya membawa satu pelaburan asing yang membawa teknologi pemprosesan REE untuk dikongsi di sebuah kilang di Malaysia.


Saya yakin ini persaingan yang sihat: 


Kerajaan Persekutuan dan PN yang mentadbir empat buah negeri ini berlumba-lumba membuktikan siapa yang paling handal membawa teknologi pemprosesan REE ke Malaysia.


Jika tidak, rancangan yang diumumkan di Bangi itu hanya kekal menjadi hasrat sahaja.



No comments: