SG4 PLATFORM UNTUK ANGKAT PAS DUDUKI KERUSI PM?



Topik mengenai SG4 kembali menjadi tajuk perbualan masyarakat berikutan gabungan tidak rasmi melibatkan empat negeri ditadbir Pas itu mengadakan perjumpaan yang dinamakan Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, Selangor beberapa hari lalu.


Paling diperbualkan ialah apabila Tun Mahathir Mohamad selaku Penasihat gabungan itu mengumumkan penubuhan sebuah syarikat – SG4 Group Sdn Bhd – untuk Kelantan, Teregganu, Kedah dan Perlis – berkongsi kekayaan sesama mereka.


Menurut Tun Mahathir, menerusi syarikat tersebut, setiap negeri berkenaan akan memiliki saham dan ekuiti yang sama rata.


Buat ketika ini, fokus yang ingin ditumpukan melalui syarikat tersebut ialah membangunkan industri nadir bumi atau REE sebagai sumber kekayaan.


“Jadi REE ini bukan ada sama rata di setiap negeri, satu negeri mungkin lebih daripada negeri lain.


“Justeru dengan ada satu syarikat ini kita agih segala hasilnya secara saksama untuk setiap negeri menikmati kekayaan yang sama rata,” demikian jelas Tun Mahathir.


Apa yang terlihat di sini, Pas melalui penguasaan di empat negeri itu jelas mahu memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki Tun Mahathir bagi membangunkan negeri-negeri tadbirannya.


Ia bukan saja untuk kepentingan rakyat di empat negeri berkenaan, tetapi matlamat lebih besar ialah untuk memperlihatkan Pas sebagai sebuah parti politik yang berkemampuan dalam soal pentadbiran dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.


Dengan kemampuan yang ingin diserlahkan itu,  Pas tentu saja ada cita-cita yang lebih besar daripada sekadar mentadbir negeri.


Cita-cita lebih besar itu tidak lain ialah untuk mengetuai pentadbiran negara dan meletakkan pemimpin Pas di kerusi Perdana Menteri.


Cita-cita ekonomi yang ingin dicapai melalui SG4 dengan cara meneroka industri REE sebenarnya adalah permulaan untuk Pas mencapai cita-cita politik mereka.


Cita-cita ekonomi barangkali ada proses tertentu yang perlu dilalui serta memakan sedikit masa, bahkan halangannya juga tidak sedikit, terutama dalam soal pengagihan secara sama rata hasil REE yang ingin dibangunkan itu.


Dalam perniagaan, hampir tidak ada pembahagian sama rata menjadi amalan, apa lagi jika sumber dan kekuatan dalam membangunkan perusahaan itu berbeza-beza antara semua pihak pemegang sahamnya.


Sebab itu, SG4 ini tidak semudah diucapkan untuk ia menjadi kenyataan dalam waktu yang terdekat ini dengan menjadikan REE sebagai sumber kekayaan bersama.


Tetapi, daripada sudut politik, tempoh PRU16 hanya kira-kira tiga tahun saja daripada sekarang dan Pas tentu melihatnya sebagai peluang terbaik untuk menggapai cita-cita mereka.


Ini bermaksud, dengan bantuan Tun Mahathir, berdasarkan Pas kini telah berjaya menguasai empat negeri dan memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar sekali, matlamat mereka seterusnya ialah untuk tidak terlepas daripada mengepalai Putrajaya selepas PRU16 akan datang.


Sebab itu SG4 tidak bergerak bersama PN atau membawa sekali PN bersamanya, walaupun Pas adalah komponen PN yang diketuai Muhyiddin Yassin.


Bermakna, Pas sekarang bergerak dalam dua kumpulan menjelang PRU16 akan datang, satu bersama PN yang diterajui Muhyiddin dan satu lagi melalui SG4 yang diketuai Tun Mahathir.


Walaupun Pas tidak pernah mengenepikan atau menolak sama ada Muhyiddin atau Hamzah Zainuddin sebagai calon Perdana Menteri, tetapi SG4 adalah platform untuk Pas terus ke depan dan untuk memenangi lebih banyak kerusi lagi pada PRU16 nanti.


Selepas PRU16 nanti, apabila Pas lebih unggul dan angka kerusi Parlimen yang mereka miliki juga jauh lebih besar, ditakdirkan Tun Mahathir masih diberi kesihatan dan panjang umur oleh Tuhan ketika itu, di situlah Pas akan diposisikan untuk mengetuai sebuah kerajaan campuran yang baharu bagi mentadbir negara.


Peranan Tun Mahathir yang paling penting ketika itu ialah juga untuk meyakinkan Sabah dan Sarawak untuk menerima kepimpinan Pas. – ShahbudinHusin 04 September 2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/09/04/sg4-platform-untuk-angkat-pas-duduki-kerusi-pm.html



No comments: