SEARCH HARUS KEKAL...

 

Zainuddin Omar



Sayang sekali band tersohor Search berpecah dan masing-masing berebut nama glemer itu. 


Antara Search Kiddin dan Search Amy, mana satu yang mempunyai bunyi original seperti Search zaman 80'an dan 90'an? 


Siapa mempunyai suara power, Amir Masdi, Denden atau Amy?


****************

Ketika idea bergabung kembali ibarat suatu misi yang mustahil, pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud, menyarankan bekas anggota band tersebut hadir dengan idea sendiri untuk memperkenalkan diri mereka.


Bercakap kepada Malaysiakini untuk mengulas itu tersebut, Nasir berkata, tidak ada mana-mana kumpulan muzik perlukan sehingga empat gitaris.


"Nak bersatu macam mana? Jadi, bagi saya mereka kena rancang nama sendiri (bukan Search)," katanya.


Tambah Nasir, walaupun keluar masuk sesebuah band adalah lumrah, konflik berebut nama sangat jarang berlaku di mana-mana.


"Hanya berlaku di Malaysia," katanya.


Mengukuhkan dakwaannya, Nasir berkata dalam dunia muzik, kumpulan legenda seperti The Rolling Stones atau Led Zeppelin hanya ada satu.


Katanya tidak pernah ada dua band berbeza yang menggunakan nama sama.


"Pada saya, (pihak lagi satu) mungkin bankrap idea,” katanya.


Untuk rekod, ketika ini ada dua kumpulan Search. 


Satu daripadanya dianggotai Din dan Kid dan mereka pernah menganjurkan konsert Rockin On Rooftop di kompleks beli-belah Campbell, Kuala Lumpur pada 2022.

Dah taraf atuk-atuk


Mereka menampilkan vokalis yang berasal dari Indonesia, Denden Gonzalez. 


Untuk konsert pada 29 Jun ini pula mereka menjadikan Amir Masdi sebagai vokalis jemputan.


Denden dan pemain bass Yan dilaporkan tidak dapat turut serta kerana terikat dengan komitmen lain. 


Tempat Yan digantikan pemuzik dari Prime Domestik, Rozaimi.


Satu lagi Search dianggotai Nasir bersama Amy selaku vokalis, serta pengasas kumpulan berkenaan, Hillary Ang dan gitaris terkenal, Man Kidal.


Kerana itu bagi Nasir keberadaan nama besar dalam Search yang dianggotainya lebih gah berbanding 'versi' Din dan Kid yang mempunyai pemuzik bersilih ganti.


Kata Nasir, 65, perpecahan Search membuat dia sangat terkilan kerana daripada band rock tersohor negara kumpulan berkenaan kini dikenali dengan kontroversi.


Amy

“Pada saya, mereka hanyalah cover band untuk Search kerana menggunakan penyanyi lain menyanyikan serta pemuzik luar untuk memainkan lagu-lagu Search.


“Jadi, saya rasa seperti dianiaya kerana mereka merosakkan Search,” katanya.


Diminta mengulas harapannya terhadap barisan anggota Search yang dianggotainya ketika ini, Nasir berkata, dia ingin mereka terus bersama sehingga bila-bila.


Justeru, katanya, dia mahu mengelak sebarang konflik dalaman seperti pernah terjadi sebelum ini.


“Kami pun dah taraf atuk-atuk (berusia), jadi saya harap line up kali ini boleh kekal. Apa yang berlaku (perpecahan) itu, bukan kami minta,” katanya.



No comments: