PENGAJARAN PERLANTIKAN IMAM-IMAM HUFFAZ PADA RAMADAN AKAN DATANG


Hafiz Kodiang


1. Masjid dan surau perlu mencari calon imam yang benar-benar hafiz 30 juz al-Quran selain menguasai kualiti bacaan, ingatan dan suara serta pengetahuan hukum asas solat berjemaah. Jangan ambil secara tangkap muat dek kerana ingin bersaing dengan masjid dan surau lain yang lebih berdaya maju dari segi kewangannya.


2. Berikan tawaran secara hitam putih berasaskan kontrak al-Ijarah (al-ujrah lil khadamaat) kepada calon imam atau pihak pengurusan sekolah dengan menyatakan syarat-syarat yang perlu diikuti seperti memulakan imam solat Isyak, berapa rakaat tarawih dan witir. Dalam kontrak tersebut perlu dinyatakan dengan jelas kadar UJRAH sama ada mengikut bilangan hari atau secara pakej. Ujrah perlu dipertegaskan untuk setiap orang imam atau dikongsi sama banyak. Penetapan kadar ujrah boleh berbeza mengikut kekananan calon imam atau kewangan masjid/surau. Kedua-dua pihak perlu bersetuju (ijab dan qabul) secara al-taradhiyy. Jika tidak setuju, jangan terima atau tawarkan pula kepada sesiapa yang berminat. Jika melibatkan pihak ketiga seperti pengurusan sekolah yang membekalkan calon-calon imam, mereka mesti menyatakan caj yang dikenakan dalam bayaran imam untuk mengelak eksploitasi imam-imam berlaku.


3. Sebaiknya imam-imam huffaz membacakan setiap malam bilangan juz mengikut bilangan malam Ramadan. Malam pertama, bacalah juz pertama dan seterusnya sehingga tamat bertugas walaupun tidak membaca keseluruhan juznya. Saya dapati, terdapat imam yang masih membaca juz ketiga pada malam ke-27. Malah ada yang membaca surah-surah seperti al-Saf, al-Jumaah bersambung-sambung pada beberapa malam. 


4. Imam-imam juga terutamanya yang junior, jika membaca ayat ayat surah panjang, jangan main waqaf melainkan setelah habis kisah ayat-ayat yang dibacakan. Dahulu orang tua-tua panggil 'habis satu aiyn (ع)'. Barulah bacaan al-Quran tidak tergantung. Ini pentingnya imam yang mengetahui makna dan hukum bacaan waqaf-wasal al-Quran.


5. Bagi masjid atau surau yang tidak mampu memberikan ujrah kepada imam-imam huffaz luar, TIDAK PERLU mencari. Guna saja senarai imam sedia ada sambil boleh praktis menjadi imam. Pada masa sama, jangan kikir untuk tawarkan saguhati kepada imam-imam bidan terjun yang sedia ada apabila mereka volunture mengimamkan Tarawih setiap malam. Orang yang hanya biasa hadir sebagai jemaah tidak akan pernah rasai gedebup gedebab orang yang menjadi imam. Dia akan menjaga makanan semasa berbuka dan akan bergegas ke masjid-surau selepas berbuka. Tidak seperti orang lain yang boleh datang sesuka hati.


6. Jika kadar ujrah telah ditetapkan dan dipersetujui oleh pihak masjid dan pengurus imam-imam huffaz, maka tidak perlu lagi membuka tabung khas untuk saguhati imam. Jika banyak disumbang sudah tentu pengurusan masjid akan gusar kerana memikirkan banyak lagi bayaran lain yang perlu diuruskan. Justeru, biarkan sahaja jemaah masjid memberikan saguhati itu direct kepada imam by hand atau bank in.


7. Saya juga khuatir dengan sesetengah pihak sekolah yang menguruskan imam-imam huffaz mereka yang mungkin mengambil peratusan yang besar daripada kadar ujrah itu. Pihak masjid memberikan jumlah yang besar tetapi yang pihak pengurusan imam berikan kepada imam-imam mereka, adalah sedikit kerana selebihnya masuk ke tabung sekolah atau tabung mudir sekolah itu sendiri. Akhir sekali imam-imam muda ini menuduh masjid yang bagi saguhati sedikit. Hal-hal seperti ini perlu dipastikan agar tidak berlaku penyelewengan atau eksploitasi.


8. Kadar ujrah yang sesuai untuk imam semalaman antara RM150-RM200 bagi 8 rakaat termasuk 3 witir sekali (+-1 jam bertugas). Bagi imam yang membaca 1 juz setiap malam bagi 20 rakaat, kadar asasnya mungkin antara RM300-RM400 (+- 2 jam). Selebihnya terserah kepada suci hati jemaah untuk memberikan al-ihsan kepada para imam.


9. Para bilal juga perlu perbaiki sebutan zikir & solawat yang dibaca sebelum tarawih dan selepasnya. Sebut bagi penuh dan betul seperti di bawah :

صلاة التراويح من قيام شهر رمضان أثابكم الله 


Ini macam-macam disebutnya seperti (contoh) :

 الصلاة التراويح اثابكم الله

الصلاة القيام أثابكم الله


Jika tidak tahu kaifiyyat zikir dan solawat itu, tidak perlu baca. Cukup dengan sekadar bersolawat sahaja. Antara punca orang takut menjadi bilal ialah nak kena baca zikir dan solawat itu. Tiada bacaan itu pun tidak menjadi masalah.


10. Saya ingin mencadangkan setiap kali selepas satu tarwihah iaitu 4 rakaat Tarawih, habis berdoa, imam memberikan tazkirah ringkas  dalam satu-dua minit akan maksud dan pengajaran ayat-ayat yang beliau bacakan sebelum itu. Sekurang-kurangnya makmum tahu ibrah umum daripadanya. Saya teringat di Hayyu Sabiek, Mesir tahun 90'an dahulu, sesetangah imam Masjid Musa Nusayr akan pusing ke arah makmum selepas habis satu tarwihah. Beliau membuka soal jawab hukum kepada maklum. Selepas habis sesi soal jawab, disambung solat semula. Begitulah sehingga tamat 20 rakaat. Ini pentingnya kita melantik imam-imam senior berbanding budak-budak yang separuh hafiz.


11. Kepada sesiapa yang menjadi imam solat witir pada malam 16 Ramadan dan seterusnya, bacaan Qunut sewajarnya dibaca semua dengan kuat (jahar) termasuk فَاِنَّكَ تَقْضِىْ وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ. Pada lafaz itu, makmum diam tidak mengaminkan dengan membacanya secara sirr. Akan tetap imam tetap membaca secara jahar.


Semoga Allah SWT menerima semua amalan kita di sepanjang Ramadan 1445 ini.


Dr. HK

8 April 2024 / 

28 Ramadan 1445



No comments: