IMAGINASI SEORANG PARANOID



Marwan Bukhari




 1. Penghinaan kepada kalimat Allah dan apa-apa simbol agama hendaklah dibendung. Malah menariknya al-Quran sendiri menyeru lebih jauh daripada itu iaitu melarang daripada mencela dan menghina sembahan agama lain, implikasinya Allah akan dihina dalam keadaan mereka marah dan jahil. Implikasi seterusnya ialah masyarakat berbeza agama akan hidup porak-peranda, saling bermusuhan dan menghina.


2. Tapi Islam mengajar supaya kita hidup dengan realiti. Pastikan penghinaan itu realiti, bukan sekadar imaginasi jauh seseorang, paranoid melampau ataupun tohmahan palsu terhadap sesiapa sahaja sama ada Muslim dan bukan Muslim. Dilarang menuduh orang lain menghina simbol agama kalau tiada bukti mereka berbuat demikian. Kaedah yang disebut dalam al-Quran ialah tabayyun atau semak dan teliti sebelum sebar dan tuduh. Bagi saya isu kalimah Allah di kasut sekarang hanyalah gambaran sikap berlebihan dalam berimaginasi dan paranoid. Sebabnya seseorang perlu mengambil selekoh jauh sebelum tiba ke kesimpulan itu adalah kalimah Allah di kasut!


3. Kalau menghina agama dilarang, menuduh orang menghina agama tapa sebarang bukti juga dilarang. Malah implikasinya sama iaitu menimbulkan suasana panas yang tidak perlu dalam hubungan antara masyarakat majmuk. Saya tidak tahu apa faedahnya tindakan menyebarkan hal sebegini. Banyak lagi perkara bermanfaat boleh diisi untuk kebaikan kita dan masyarakat.



No comments: