SETELAH KES DIBAWA KE MAHKAMAH, KINI GILIRAN DR AKMAL TUNJUK ISLAM ITU PEMAAF


Pelbagai pihak kini mula bersuara agar Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh menghentikan kecaman dan pemboikoitan terhadap KK Mart.


Ini berikutan pihak berkuasa sudah bertindak terhadap mereka yang terbabit menghina kalimah Allah, termasuk mendakwa di mahkamah tauke KK Mart dan pembekal stoking bertulis kalimah Allah itu.


Saya sendiri sebelum ini menyokong tindakan Dr Akmal dalam isu kalimah Allah ini atas sandaran itulah yang sepatutnya dilakukan oleh orang Islam dalam mempertahankan kesucian agama Islam daripada sebarang penghinaan.


Tetapi kini, setelah semua tindakan yang wajar telah diambil oleh pihak berkuasa, saya juga ridak terkecuali merasakan kecaman dan pemboikotan tidak wajar diteruskan lagi rerhadap KK Mart.


Dr Akmal harus berhenti mengecam dan menyeru pemboikotan yang berpanjangan terhadap KK Mart.


Meneruskan kecaman dan menyeru pemboikoitan diteruskan terhadap KK Mart lebih menunjukkan Dr Akmal ingin memperlihatkan Islam itu agama yang tidak pemaaf dan ingin bermusuhan dengan bukan Islam sampai ke liang kubur.


Saya yakin bukan begitu ajaran Islam dan keindahannya yang diajar kepada kita kerana salah satu ciri penting dalam agama itu sendiri saling maaf-memaafkan.


Lagi pula, setelah tauke KK Mart dan pembekal stoking itu didakwa di mahkamah, manakala sebelum ini mereka sudah pun meminta maaf, apa lagi yang dimahukan oleh Dr Akmal daripada mereka itu?


Kalau berterusan mengecam dan memboikot KK Mart, apa untungnya kepada kepada agama Islam?


Apa juga untungnya kepada UMNO?


Sekarang Dr Akmal harus lebih berjiwa besar dengan turut memikirkan nasih lebih 60 peratus pekerja beragama Islam yang bekerja dan mencari rezeki dengan KK Mart.


Isu stoking kalimah Allah ini sudah dikira selesai sekarang apabila beberapa tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa, khususnya mendakwa tauke KK Mart dan pembekal stoking kalimah Allah di mahkamah.


Tiada tindakan lebih daripada itu boleh dilakukan ke atas KK Mart, pembekal dan mereka yang terlibat dalam menghina kalimah Allah.


Memanjangkannya lagi hanya akan memburukkan hubungan antara Islam dengan bukan Islam dan Melayu dengan bukan Melayu di negara ini.


Yang penting, untuk terus ke depan, Islam itu mesti diperlihatkan bersifat pemaaf dan Dr Akmal kini berfanggungjawab memuliakan semula kedudukan Islam dengan menunjukkan sikap pemaaf dan menghentikan semua kecaman serta pemboikotan terhadap KK Mart.


Dr Akmal sudah dikira berjaya dalam perjuangannya, malah kita bangga dengan ketegasannya sebelum ini.


Tetapi kini masa untuk berhenti sudah tiba dan jangan dutangguhkan lagi.


Semua kita, termasuk bukan Islam sudah belajar daripada isu ini dan kini kita semua perlu membina semula negara ini melalui kepelbagaian yang sedia ada dengan penuh harmoni seperti sebelumnya. – ShahbudinHusin 27/03/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/03/27/setelah-kes-dibawa-ke-mahkamah-kini-giliran-dr-akmal-tunjuk-islam-itu-pemaaf.html