APA YANG SYED SADDIQ HARAP LAGI DARIPADA MAHIADDIN?

 


Mahiaddin Md Yassin semalam mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bersama PN dalam jelajah ke seluruh negara yang bakal digerakkan gabungan tersebut.

Kata beliau, Syed Saadiq telah menyatakan kesediannya untuk bersama di pentas PN dalam jelajah ke seluruh negara mengenai isu-isu semasa nanti.

Siri jelajah itu juga, tambah Mahiaddin, akan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kedudukan dan peranan PN.

“Pasal Syed Saddiq pun menyokong kita. Walaupun beliau tidak menyertai dalam PN, tapi pro kita.

“Kita PN di peringkat tertinggi telah buat keputusan, kita akan mengadakan jelajah di semua negeri untuk menjelaskan isu-isu semasa.

“Dan mendengar rintihan rakyat di bawah dan apa peranan PN boleh lakukan untuk menanganinya,” ujar beliau.

Pada 9 November 2023, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta serta dua kali sebatan selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Berhubung pertuduhan yang dihadapinya itu, pada 23 Februari 2023 sebelum itu, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, Syed Saddiq memberitahu, beliau didakwa di mahkamah kerana enggan menyokong Perdana Menteri ketika itu, Mahiaddin yang juga adalah Presiden Bersatu.

Katanya, permintaan untuk menyokong Mahiaddin bagi mengelak beliau didakwa di mahkamah, adalah sesuatu yang salah.

Tambah bekas Menteri Belia dan Sukan itu, walaupun secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah dengan Mahiaddin, tetapi jika perkara itu (menyokong Mahiaddin) akan menghentikan pendakwaan, ia adalah salah.

“Perkara itu diberitahu pegawai penyiasat yang menyiasat saya dan serbu rumah saya,” katanya.

Sekarang, sementara Syed Saddiq sudah didapati bersalah dan dalam proses rayuan, Mahiaddin yang didakwanya menyebabkannya diheret ke mahkamah pula bukan lagi berjawatan Perdana Menteri.

Apa yang Syed Saddiq mahu dan harapkan dengan kembali bersama jelajah PN yang diterajui Mahiaddin?

Adakah beliau percaya Mahiaddin boleh kembali semula sebagai Perdana Menteri, meski Ahli Parlimen Pagoh itu sendiri ada kes mahkamah juga yang bakal dihadapinya? – ShahbudinHusin 10/03/2024.



No comments: