SEBELUM NAK HAPUSKAN PENCEN PENJAWAT AWAM, APA KATA PM DAN MENTERI2 SECARA SUKARELA TOLAK PENCEN TERLEBIH DAHULU?

 

Berikutan keputusan kabinet sebagaimana diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa lantikan penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini tidak lagi menikmati skim pencen, libasan paling popular untuk menghentam kerajaan yang kedengaran ialah kenapa pencen untuk menteri dan wakil rakyat tidak dihapuskan terlebih dahulu?

Yang turut bersuara sedemikian, selain sebahagian besar netizen melalui pelbagai platform media sosial, adalah Pergerakan Pemuda UMNO sendiri.

Secara logiknya, walaupun keputusan kabinet itu atas alasan kerana beban kewangan yang makin menggunung terpaksa ditanggung kerajaan, ditambah kedudukan ekonomi dan pendapatan negara yang tidak bertambah baik, ia bagaimanapun adalah jelas suatu keputusan yang berat sebelah, sambil tidak malu untuk mengekalkan kepentingan bagi diri sendiri.

Ini kerana kabinet yang terdiri daripada orang-orang politik dilihat hanya membuat keputusan yang menjejaskan pihak lain, tetapi tetap menguntungkan masa depan mereka.

Sepatutnya, jika benar beban kewangan yang menjadi kekangan, sementara pencen untuk penjawat awam pengambilan baharu dilihat wajar untuk dimansuhkan, ia perlu didahului dengan penghapusan semua pencen untuk orang-orang politik, merangkumi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, Adun, Menteri Besar/Ketua Menteri, Exco kerajaan negeri dan juga Setiausaha-Setiausaha Politik.

Lagi pun, syarat untuk penjawat-penjawat politik berkenaan dibolehkan menikmati pencen hanya dengan berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun saja berbanding penjawat awam yang kena berkhidmat berpuluh-puluh tahun sehingga bersara dan hanya selepas itu barulah ada pencen untuk kehidupan selepas bersara.

Jika kerajaan bertukar setiap lima tahun sekali, begitu juga kiranya setiap kali pilihan raya diadakan, Ahli Parlimen dan Adun yang menang sentiasa bersilih ganti – bayangkan berapa banyak wang negara perlu dibelanjakan untuk membayar pencen orang-orang politik?

Lebih parah, termasuk yang kaki tidur, kaki ponteng dan tidak pernah bercakap walau sepatah pun sepanjang lima tahun sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri diadakan, di sebalik mereka itu tetap megah membawa gelaran Yang Berhormat ke sana sini, tetapi turut sama beroleh pencen juga.

Bukankah golongan ini yang patut terlebih dahulu dimansuhkan pencennya?

Sebab itu, jika kerajaan benar-benar mahu dilihat bersikap adil dalam penghapusan pencen kakitangan awam ini, tiada pilihan melainkan ia mesti dimulakan dengan memansuhkan pencen orang politik terlebih dahulu.

Dalam hal ini, adalah amat mulia dan terpuji jika Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sendiri dapat mengetuai semua penjawat politik yang dilantik selepas PRU15 lalu untuk tampil secara sukarela memulai persetujuan menolak pencen masing-masing sebagai tanda prihatin kepada kedudukan kewangan negara.

Jika ini dapat dilakukan, diikuti dengan keputusan tiada sama sekali nikmat pencen untuk orang politik adalah kekal selama-lamanya selepas ini, maka barulah keputusan kerajaan mahu menghapuskan pencen untuk pengambilan baharu penjawat awam itu boleh diterima dengan senang hati.

Ini tidak, pencen untuk penjawat awam hendak dihapuskan, tapi pencen bagi diri sendiri sentiasa dikekalkan?

Tambahan lagi, buruk benar wajah masa depan negara kita jika orang politik terus menikmati pencen, sedangkan penjawat awam tidak lagi menikmatinya.

Selain itu, yang pasti juga, tindakan memansuhkan pencen untuk pengambilan baharu kakitangan awam ini turut memberi kesan berangkai kepada kerajaan semasa.

Disamping kerajaan menjadi tidak popular dan perkhidmatan awam bukan lagi suatu tarikan untuk rakyat bekerja, pasti juga wujud tohmahan bahawa kerajaan yang ada ini tidak lagi berpihak kepada orang Melayu.

Tidak dinafikan bahawa lebih 95 peratus daripada kakitangan awam dalam pelbagai sektor adalah terdiri daripada orang-orang Melayu.

Bahkan, dalam banyak keadaan, sektor awamlah satu-satunya lapangan kerja yang dilihat sebagai tempat orang Melayu mencari rezeki yang boleh menjamin urusan kehidupan mereka sehingga ke liang kubur.

Bersediakan gabungan parti dalam kerajaan sekarang menghadapi hambatan politik daripada parti lawan jika mereka memainkan isu tersebut mulai sekarang sehingga PRU16 akan datang?

Lebih buruk jika ada parti pembangkang pula tampil dengan ketegasan untuk terus mempertahankan pencen kakitangan awam jika mereka diberi kuasa selepas PRU akan datang?

Mampu lagikah PH/BN mengekalkan kuasa pemerintahan yang ada ini? – ShahbudinHusin 25/01/2024.