Rafizi bidas kenyataan Mahathir dakwa Melayu akan hilang


 

Timbul isu dari kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu akan lenyap dalam masa 10 tahun jika tidak bersatu.



Namun hal itu dibidas oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang melihat keadaan orang Melayu hari ini lebih baik berbanding era Tun Mahathir memerintah selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003.



Kata Rafizi, golongan menengah Melayu pada waktu ini telah semakin membesar dan untuk mengatasi cabaran ekonomi masa hadapan kaum itu, mereka mestilah memahami cabaran persaingan ekonomi yang diakibatkan dari globalisasi.



"Pandangan saya, ada perkara-perkara yang wajar memberi lebih keyakinan kepada kita bahawa keadaannya tidaklah seperti yang digambarkan Tun Mahathir.



"Contohnya, orang Melayu kini membentuk kelas pertengahan (middle class) yang besar dalam negara kita berbanding 50 tahun dahulu.



"Kejayaan membina kelas pertengahan dan kelas profesional yang besar ini adalah bukti orang Melayu berkemampuan menaiki mobiliti sosial melalui pelaburan kerajaan dalam pendidikan," katanya.



Hal itu amat berbeza dengan kenyataan Mahathir kononnya kaum Melayu di negara ini bakal lenyap jika keadaan tidak berubah, mereka dikatakan akan ditawan bangsa lain tanpa melalui peperangan.



Menurut Rafizi, dalam konteks “Melayu Akan Hilang” yang dibawa Mahathir keadaannya bergantung kepada keterhubungan ekonomi akibat globalisasi dan sejauh mana kaum Melayu mampu melepasinya, bukan sangat ancaman kaum lain di Malaysia.



"Pesaing sebenar ialah produk dan perkhidmatan dari serantau dan luar negara yang memasuki pasaran kita kerana lebih murah atau lebih berteknologi tinggi.



"Selain itu faktor skala operasi dan capaian pasaran dunia menjadi faktor penentu kemampanan sesebuah perniagaan, termasuklah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang banyak diterajui oleh kelas menengah Melayu," ujarnya.



Tambah Rafizi, idea Mahathir melahirkan hartawan Melayu dengan campur tangan kerajaan pada 1990an lalu sebaliknya telah gagal selepas diuji dengan krisis kewangan Asia tahun 1997 dan 1998 yang menyaksikan golongan korporat serta 'hartawan segera' itu tumbang satu demi satu.



"Kita juga tahu kesan sampingan dari doktrin mencampur aduk kuasa politik dan korporat yang dibawa oleh Mahathir ini.



"Tata kelola bercampur aduk apabila sektor ekonomi utama boleh diberikan kepada individu tertentu yang perlu menyumbang wang untuk membantu ahli-ahli dan parti-parti politik (sebagai balasan)," katanya lagi.

 

No comments: