LANGKAH PENGGAL TETAP PARLIMEN (FIXED TERM PARLIAMENT MOVE)


Andrian Lim Chee Ann


Antara langkah yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan untuk menoktahkan desas desus langkah-langkah pintu belakang (seperti Langkah Dubai) adalah Langkah Penggal Tetap Parlimen.


Penggal Tetap Parlimen ialah penetapan penggal sesebuah Parlimen, di mana tarikh pilihan raya tidak lagi menjadi teka teki.


Ianya ditetapkan dari awal lagi melalui undang-undang. Seluruh negara tahu bila pilihan raya bakal dibuat. Tidak boleh lewat, tidak boleh awal, kecuali dalam keadaan-keadaan yang teramat terpencil.


Selain mengurangkan politicking di antara ahli politik, rakyat seluruh negara juga boleh memberi lebih banyak tumpuan kepada hal-hal selain politicking. Dan keadaan yang stabil juga memberi keyakinan kepada para pelabur asing, di mana manfaat pertumbuhan ekonomi yang lebih sihat akhirnya dinikmati oleh rakyat juga.


Beberapa Welfare States (negara kebajikan) di Scandinavia seperti Norway dan Sweden mempunyai mekanisme seumpama.


Storting (Parlimen versi Norway) dan Riksdag (Parlimen versi Sweden) menjalankan pilihan raya sekali setiap empat tahun. Tidak boleh diawalkan. Tidak boleh dilambatkan.


Selain negara-negara kebajikan di Scandinavia, dua superpower dunia juga mengamal mekanisme seumpama, iaitu Amerika Syarikat dan Rusia.


Mungkin…. mungkin ketetapan sebegini sejak sekian lamanya adalah antara faktor kepada kejayaan pertumbuhan ekonomi yang dinikmati oleh Amerika dan Rusia, di mana kedudukan mereka di pentas global pada hari ini dianggap sebagai “superpower”.


Di Rusia, Duma (Dewan Rakyat versi Rusia) menjalankan pilihan raya sekali setiap lima tahun. Tidak boleh awal. Tidak boleh lewat.


Di Amerika, Kongres (Parlimen versi Amerika) menjalankan pilihanraya sekali setiap dua tahun atau enam tahun. Tidak boleh awal. Tidak boleh lewat.


House Of Representatives (Dewan Rakyat versi Amerika) menjalankan pilihan raya sekali setiap dua tahun. Tidak boleh awal. Tidak boleh lewat.


US Senate (Dewan Negara versi Amerika) menjalankan pilihan raya sekali setiap enam tahun. Tidak boleh awal. Tidak boleh lewat.


*Gambar saya melawat ke Capitol Hill (Putrajaya versi Amerika Syarikat), di mana tempatnya Kongres Amerika (Parlimen versi Amerika) bersidang.



No comments: