PESANAN UNTUK ZAHID HAMIDI – SEKADAR PERTEMUAN DUA TIGA PEMIMPIN, IA BUKANLAH GERAKAN MENJATUHKAN KERAJAAN NAMANYA

 

Di kala hampir semua pemimpin blok pembangkang dan pimpinan parti dalam kerajaan sendiri menolak kewujudan Langkah Dubai, tak semena-mena, sekembalinya daripada menunaikan umrah, Ahmad Zahid Hamidi mengakui pula kewujudan gerakan untuk menjatuhkan kerajaan sempena mengambil nama sebuah bandar di Emiriyah Arab Bersatu itu.

Kata Timbalan Perdana Menteri itu, beliau menerima laporan perisikan berkaitan gerakan itu sebaik sahaja individu terbabit tiba di lokasi yang dilaporkan serta selepas mereka selesai mengadakan pertemuan.

“Laporan-laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka ke tempat itu dan laporan selepas itu turut kita perolehi,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Zahid Hamidi enggan mendedahkan mereka yang terbabit dal pertemuan tersebut.


Ehh…ehh…jika benar ada maklumat, kenapa enggan didedahkan?

Apakah kepada Perdana Menteri juga Zahid Hamiri tidak mahu mendedahkan sebarang maklumat?

Apakah Zahid Hamidi suka melihat kedudukan Anwar Ibrahim kelihatan goyang dan kerajaan dilihat tidak stabil?

Atau kenyataan beliau ini ada udang di sebalik mee goreng mamak?


Ehem…ehemmmm….

Dalam hal ini, elok Zahid Hamidi faham terlebih dahulu apa itu makna gerakan untuk menjatuhkan kerajaan.

Paling mudah untuk difahami, gerakan menjatuhkan kerajaan itu ialah seperti Langkah Sheraton atau seumpama ketika Anwar mengumumkan mempunyai cukup jumlah sokongan untuk mengambil alih kerajaan ketika pentadbiran Mahiaddin Md Yasin yang diikuti dengan surat turut dihantar ke Istana Negara serta adanya surat sokongan daripada Zahid Hamidi sendiri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Atau paling tidak, gerakan menjatuhkan kerajaan juga ialah seperti Anwar melakukan Gerakan 16 September ketika pentadbiran Tun Abdullah Badawi dulu.


Isunya, adakah maklumat risikan yang diperoleh Zahid Hamidi mengenai gerakan Langkah Dubai itu mempunyai persamaan dengan semua gerakan yang disebutkan di atas?

Kalau sekadar dua tiga pemimpin bertemu ketika kebetulan mereka bercuti hujung tahun di suatu tempat yang sama, itu bukanlah suatu gerakan namanya.

Sesuatu gerakan mestilah sesuatu yang dirancang dengan keyakinan ia paling mungkin boleh menjadi kenyataan.

Jika gagal, ia barangkali disebabkan ada berlaku keadaan-keadaan luar jangka yang tidak difikirkan sebelumnya.

Macam Anwar mahu menjatuhkan kerajaan sebelum ini, meski beberapa kali diusahakan, tetapi ia tidak pernah menemui kejayaan.

Namun, ketika merancangnya, sudah pasti Anwar berkeyakinan penuh kejayaan akan memihak kepadanya.

Sama macam jika ada beberapa pemimpin bertemu di Dubai, kemudian berbual-bual tentang kejatuhan kerajaan, ia bukanlah gerakan untuk menjatuhkan kerajaan.

Untuk maklumqn Zahid Hamidi, perkara seumpama itu hampir setiap hari ada berlaku di sekitar Publika di mana terletaknya pejabat PN di kawasan tersebut.

Singgahkah di dunia tiga kedai di situ, pasti akan terdengar isu menjatuhkan kerajaan yang dijadikan bahan sembang yang kadangkan disertai sejumlah Ahli-Ahli Parlimen, merupakan tajuk paling kerap diperbualkan.

Tetapi, adakah ia suatu gerakan untuk menjatuhkan kerajaan?

Begitu juga di sekitar WTC di mana terletaknya Ibu Pejabat UMNO, di situ juga tidak kurang banyak diperbualkan tentang menjatuhkan kerajaan.

Namun, ia pasti bukanlah menunjukkan wujud sebuah gerakan mahu menjatuhkan kerajaan.

Diberikan maklumat ada pertemuan dua tiga pemimpin sambil bersembang dan makan-makan bukan bermakna wujud sebuah gerakan untuk menjatuhkan kerajaan, walaupun mereka memang ingin melihatkan kerajaan perpaduan ini dijatuhkan.

Lainlah kalau Zahid Hamidi berani menukar sokongan, barulah ada kemungkinan jatuhnya kerajaan? – ShahbudinHusin 02/01/2024.



No comments: