Hari ini 2hb Januari 2024, bermakna sudah lebih setengah bulan kerusi Ketua Pengarah J-Kom terus terbiar kosong tanpa diisi sejak berkuatkuasanya perletakan jawatan Prof Dr Mohd Agus Yusof.
Dr Agus mengemukakan surat perletakan jawatannya pada 15 November 2023 dengan memberi notis sebulan – berkuatkuasa 15 Disember 2023- selepas “seseorang” sebelum itu dikatakan menunjukkan “video Wahab” kepadanya di sebuah kedai mamak di Bangi.
Sejak itu, negara jadi gempar lantaran video tersebut kemudian tersebar luas di semua platform media sosial, diikuti dengan beberapa laporan dan siasatan polis serta sidang media.
Persoalan yang menjadi tanda tanya kini, bila lagi jawatan Ketua Pengarah J-Kom mahu diisi?
Kenapa dibiarkan kosong terlalu lama, sedangkan agensi tersebut berperanan penting terhadap kedudukan Perdana Menteri dan Kerajaan Madani?
Meskipun perletakan jawatan Dr Agus berkuatkuasa 15 Disember, tetapi berikutan surat meletak jawatannya dihantar pada 15 November dan sejak tarikh itu, Dr Agus boleh dikata sudah tidak berperanan lagi, krmudian tolak cuti tahunan lagi, ertinya telah hampir dua bulan tiada nakhoda dalam mengetuai J-Kom.
Apakah Anwar Ibrahim masih belum menemui calon yang sesuai untuk jawatan Ketua Pengarah J-Kom?
Sementara itu, sejak sebulan lalu juga tersebar perkhabaran daripada pelbagai sumber yang mengatakan Anwar lebih cenderung mahu meletakkan seorang kakitangan kerajaan sebagai Ketua Pengarah J-Kom.
Tidak dipastikan sama ada Anwar sudah ada calonnya atau tidak, namun dikhabarkan, sejak kegagalan Dr Agus memberi cahaya kepada J-Kom, beliau lebih berminat meletakkan seorang PTD – Pegawai Tadbir dan Diplomatik – untuk memimpin J-Kom.
Dalam hal ini, tidak kira siapa pun orangnya – PTD atau orang politik – melihat suasana politik yang tidak pernah aman dan nyaman sejak kebelakangan ini, membiarkan peneraju J-Kom terus terbiar kosong bukanlah langkah yang bijaksana.
Setidak-tidaknya dengan adanya kepala diletakkan menerajui agensi tersebut, ia boleh segera diarah dan digerakkan untuk berperanan dengan sewajarnya.
Diharap Anwar tidak terlalu berlama-lama menangguhkan pengisian untuk jawatan Ketua Pengarah J-Kom, meskipun agensi tersebut telah dipindahkan daripada PMO ke Kementerian Komunikasi.
Janganlah diulang seperti mengisi jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang sebelum ini yang mengambil masa lebih empat bulan setelah Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai 2023.
Lagi cepat diisi, lagi cepat J-Kom boleh “diketuk” untuk bekerja, manakala membiarkannya kosong tanpa nakhoda seperti sekarang lebih memungkinkan semua yang ada dalam agensi itu turut terbuai untuk bermain spekulasi, menokok tambah khabar angin, banyak goyang kaki dan menyebar berita tidak benar.
Tidakkah Perdana Menteri juga yang rugi akhirnya?
Sementara itu, terlanjur bercakap tentang J-Kom, sudah tentu ramai yang ingin tahu status siasatan polis berkaitan kandungan “video Wahab”, penularannya dan polis yang dibuat Wahab terhadap Dr Agus atas dakwaan melakukan gangguan seksual di Bintulu, Sarawak.
Sudah siapkan siasatan dilakukan?
Kenapa dah lama senyap tiada khabar berita?
Akan ada pendakwaan atau NFA? – ShahbudinHusin 02/01/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/01/02/berapa-lama-lagi-jawatan-kp-j-kom-hendak-diisi-apa-pula-status-siasatan-polis-terhadap-dr-agus.html